RM230 juta diseleweng bukan daripada badan zakat tapi sumbangan kepada NGO – Azam Baki

KUALA LUMPUR – Penyelewengan berjumlah kira RM230 juta membabitkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak membabitkan sumber dana daripada badan zakat, sebaliknya diseleweng daripada sumbangan yang diberikan pelbagai pihak dan sumber kepada pertubuhan berkenaan.

Sebahagian sumbangan yang diseleweng itu juga termasuklah kutipan yang seharusnya disalurkan kepada badan zakat sebuah negeri.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, isu penyelewengan terbaharu membabitkan sebuah NGO berkenaan tidak membabitkan mana-mana institusi zakat di negara ini.

“Dalam siasatan terkini, NGO ini menerima dana sumbangan daripada pelbagai sumber termasuklah komisen yang diperoleh daripada kutipan tertentu untuk diserahkan kepada badan zakat (sebuah negari).

“Bagaimanapun dana ini tidak sampai ke tujuan yang sepatutnya, sebaliknya ada dalam kalangan mereka yang tidak bertanggungjawab menyeleweng dana-dana ini untuk kepentingan peribadi termasuk membeli aset-aset mewah. Perbuatan itu itu adalah salah di sisi undang-undang dan siasatan dijalankan oleh SPRM,” katanya menurut Harian Metro.

Media semalam melaporkan, seorang timbalan pengerusi sebuah NGO antara tiga individu ditahan SPRM kerana disyaki menyeleweng dana berjumlah kira-kira RM230 juta.

Difahamkan, dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an dan 60-an ditahan antara jam 3 hingga 5 petang dalam operasi sekitar Lembah Klang, manakala seorang lagi berusia 50-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 2 petang.

Siasatan awal dalam kes itu mendapati kesemua suspek, dua daripadanya adalah pengarah syarikat, disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu antara tahun 2018 hingga 2024.

Timbalan pengerusi NGO terbabit juga dikatakan sudah memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan juga tujuan peribadi.

Siasatan SPRM kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam memandangkan NGO berkenaan adalah sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan membantu golongan memerlukan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat