KUALA LUMPUR – Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki menegaskan isu penternakan babi di Selangor tidak seharusnya dibezakan dengan haiwan lain.
Wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) daripada DAP itu berkata, risiko pencemaran, aspek kebersihan serta kesihatan dalam penternakan babi adalah sama seperti dihadapi oleh penternakan haiwan lain, menurut Utusan di Shah Alam pada Rabu.
“Mengenai isu penternakan babi seperti dalam titah ucapan tuanku, Seri Kembangan memohon ampun bahawa isu itu menyentuh hak kesamarataan warganegara yang terjamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Penternakan babi tidak seharusnya dibezakan dengan penternakan haiwan yang lain. Risiko pencemaran, aspek kebersihan serta kesihatan dalam penternakan babi adalah sama seperti yang dihadapi oleh penternakan haiwan yang lain.
“Namun, amat dukacita seperti yang dibangkitkan dalam titah tuanku, isu penternakan babi dijadikan sebagai isu politik dan dimainkan oleh pelbagai pihak termasuk bekas ahli politik,” katanya dalam perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2026.
Kelmarin, pada istiadat pembukaan sidang itu, media melaporkan Sultan Selangor sekali lagi menegaskan supaya tiada lagi ternakan babi di negeri ini.
Baginda bertitah, pelbagai faktor menghalang pembangunan ladang babi di negeri ini termasuklah isu tanah yang tidak mencukupi bagi ternakan tersebut selain berdekatan dengan kawasan penempatan penduduk.
“Baru-baru ini, beta menitahkan agar ternakan babi tidak diadakan di Selangor, namun demikian masih terdengar rungutan daripada beberapa pihak yang seolah-olah tidak berpuas dan enggan mematuhi titah beta,” titah baginda.
Siew Ki dalam perbahasan sama memaklumkan, Selangor tidak seharusnya ketinggalan dalam meneroka peluang penternakan moden dan tertutup yang dilengkapi dengan teknologi sifar pelepasan sisa, kitar semula sisa menjadi tenaga atau biomas.
Sistem itu berjaya terbukti di negeri lain dan Selangor tidak seharusnya ketinggalan. Tambahan pula, kebergantungan import kepada sumber makanan adalah berisiko dalam jangka Panjang,” ujarnya.
Katanya lagi, dia turut kecewa dengan pihak-pihak yang mempolitikkan isu tersebut oleh ahli politik dan bekas.



