Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin pertikai keabsahan sidang DKU pecat Undang Sungei Ujong

SEREMBAN, – Kesemua Undang Yang Empat bersama Tunku Besar Tampin mempertikaikan keabsahan proses yang berlangsung dalam mesyuarat khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April lalu, dengan mendakwa sidang tersebut tidak memenuhi asas keputusan yang sah dari sudut adat dan struktur institusi negeri.

Pendirian itu dinyatakan menerusi dokumen bertarikh 20 April 2026 yang ditandatangani Undang Luak Sungei Ujong, Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak bin Thahak; Undang Luak Jelebu, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof bin Haji Mat Rashad; Undang Luak Johol, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Muhammed bin Haji Abdullah; Undang Luak Rembau, Dato’ Sedia Raja Haji Abdul Rahim bin Haji Yasin; serta Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman bin Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Mereka menegaskan ahli-ahli DKU dan Undang Negeri Sembilan yang hadir dalam sidang khas tersebut tidak pernah mencapai sebarang keputusan secara kolektif mahupun sebulat suara.

Justeru, mereka berpendapat sebarang kenyataan yang menggambarkan kononnya wujud keputusan rasmi dewan, termasuk berkaitan pemecatan Undang Luak Sungei Ujong, adalah bercanggah dengan apa yang sebenarnya berlaku dalam mesyuarat berkenaan.

Dokumen kenyataan yang lengkap dengan tandatangan dan cap mohor itu turut menegaskan bahawa menurut Perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Yang di-Pertuan Besar selaku Pengerusi DKU tidak mempunyai kuasa untuk bertindak secara bersendirian atau unilateral bagi membuat sebarang keputusan atau mengeluarkan nasihat bagi pihak dewan tersebut.

Kesemua Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin turut menyatakan mereka tidak pernah bersetuju dengan pemberhentian Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak bin Thahak sebagai penyandang pesaka YTM Dato’ Klana Petra Yang Di-Pertuan Luak Sungei Ujong.

Mereka juga mempertikaikan keabsahan proses pendengaran yang diadakan pada 17 April lalu dengan alasan ia didakwa cacat serta bertentangan dengan adat dan perjanjian terdahulu antara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dengan Undang Yang Empat.

Sementara itu, sumber yang rapat dengan Undang Yang Empat mendakwa hanya seorang ahli DKU menyokong pemecatan tersebut.

Menurut sumber itu, Undang Luak Johol hadir dan membantah, Undang Luak Jelebu tidak hadir, manakala Undang Luak Sungei Ujong dan Undang Luak Rembau pula didakwa tidak dijemput.

Sumber sama turut mendakwa Tunku Besar Tampin serta Datuk Shahbandar hadir tetapi membantah usul berkenaan.

Berdasarkan susunan kehadiran itu, sumber berkenaan turut mempertikaikan keabsahan sidang tersebut dengan alasan Dewan Keadilan dan Undang didakwa tidak mempunyai korum mencukupi untuk membuat keputusan.

Sumber itu juga berhujah bahawa kuasa penentuan sepatutnya terletak pada Undang Yang Empat, bukannya ahli lain yang hadir dalam kapasiti berbeza.

Jika dakwaan ini benar, pertikaian berkenaan bukan lagi sekadar perbezaan tafsiran terhadap perjalanan mesyuarat, sebaliknya menyentuh asas keabsahan proses DKU yang menjadi sandaran kepada tindakan terhadap Undang Luak Sungei Ujong. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat