SEREMBAN, – Kesemua Undang Yang Empat bersama Tunku Besar Tampin menzahirkan pendirian tegas bahawa Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, sudah “tidak layak” untuk menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan dan “selayaknya diturunkan”.
Pendirian itu dinyatakan menerusi dokumen bertarikh 20 April 2026 yang ditandatangani Undang Luak Sungei Ujong, Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak bin Thahak; Undang Luak Jelebu, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof bin Haji Mat Rashad; Undang Luak Johol, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Muhammed bin Haji Abdullah; Undang Luak Rembau, Dato’ Sedia Raja Haji Abdul Rahim bin Haji Yasin; serta Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman bin Tunku Syed Idrus Al-Qadri.
Dalam kenyataan sama, mereka turut menyatakan sokongan terhadap pengisytiharan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, serta menzahirkan sokongan kepada pemasyhuran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12, Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar.
Menurut kenyataan itu, tindakan Menteri Besar yang didakwa menyeleweng fakta berhubung mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU), khususnya apabila mengulas kononnya wujud nasihat dewan tersebut untuk memecat Undang Luak Sungei Ujong, disifatkan sebagai satu pembohongan.
Mereka menegaskan ahli-ahli DKU dan Undang Negeri Sembilan yang hadir dalam sidang khas itu tidak pernah mencapai sebarang keputusan secara kolektif mahupun sebulat suara. Justeru, sebarang kenyataan yang menggambarkan wujud keputusan rasmi dewan dianggap bercanggah dengan apa yang sebenarnya berlaku dalam mesyuarat berkenaan.
Dokumen kenyataan yang lengkap dengan tandatangan dan cap mohor itu turut menegaskan bahawa menurut Perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Yang di-Pertuan Besar selaku Pengerusi DKU tidak mempunyai kuasa untuk bertindak secara bersendirian atau unilateral bagi membuat sebarang keputusan atau mengeluarkan nasihat bagi pihak dewan tersebut.
Kesemua Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin turut menyatakan mereka tidak pernah bersetuju dengan pemberhentian Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak bin Thahak sebagai penyandang pesaka YTM Dato’ Klana Petra Yang Di-Pertuan Luak Sungei Ujong. Mereka juga mempertikaikan keabsahan proses pendengaran yang diadakan pada 17 April lalu dengan alasan ia didakwa cacat serta bertentangan dengan adat dan perjanjian terdahulu antara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dengan Undang Yang Empat.
Dari segi hierarki negeri, pendirian itu membawa beban besar kerana ia datang daripada Undang Yang Empat yang merupakan teras institusi adat Negeri Sembilan dan memiliki legitimasi paling penting dalam urusan pemilihan serta pengiktirafan Yang di-Pertuan Besar. Sokongan Tunku Besar Tampin pula menambah tekanan moral dan simbolik terhadap kedudukan Menteri Besar.
Justeru, pendirian bersama kesemua Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin ini tidak boleh dilihat sebagai kenyataan biasa, sebaliknya membawa implikasi besar dari sudut adat, kewibawaan institusi dan kestabilan pentadbiran negeri. – SuaraTV



