SEREMBAN,– Tiga ahli Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan hari ini secara terbuka menyatakan sokongan terhadap keputusan Undang Yang Empat menurunkan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 serta merestui pemasyhuran Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.
Pendirian itu dinyatakan menerusi satu kenyataan bersama yang dikeluarkan susulan kemelut institusi adat Negeri Sembilan yang memuncak sejak 17 April lalu.
Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Undang Luak Johol, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato’ Muhammed Abdullah; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong, Dato’ Seri Utama Haji Badarudin Abdul Khalid.
Dalam kenyataan itu, mereka menegaskan sokongan penuh terhadap pengisytiharan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 dan menzahirkan persetujuan terhadap pemasyhuran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 yang diumumkan pada 19 April lalu.
Pengumuman itu dibuat oleh empat Undang Yang Empat iaitu Dato’ Klana Petra Dato’ Mubarak Dohak dari Sungai Ujong, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof Mat Rashad dari Jelebu, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato’ Muhammed Abdullah dari Johol dan Dato’ Lela Maharaja Dato’ Seri Utama Muhammad Shariff Omar dari Rembau.
Mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, Undang Yang Empat mempunyai kuasa untuk memanggil Yang di-Pertuan Besar sama ada menarik diri daripada menjalankan tugas bagi satu tempoh tertentu atau turun takhta, selepas siasatan penuh dan lengkap, jika baginda didapati mempunyai kecacatan besar yang menjejaskan kelayakan atau melakukan perbuatan yang mencemar kesucian, kehormatan dan martabat jawatan tersebut.
Malah, ketiga-tiga ahli DKU itu turut menzahirkan ucapan “Dirgahayu Tuanku” atas pemasyhuran berkenaan, sekali gus memperlihatkan sokongan terbuka mereka terhadap tindakan yang diumumkan oleh Mubarak.
Pada masa sama, mereka sekali lagi menegaskan bahawa mereka tidak pernah bersetuju dengan pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka YTM Dato’ Klana Petra.
Mereka juga menolak asas yang digunakan dalam kenyataan Menteri Besar dengan menegaskan tiada sebarang keputusan dibuat secara kolektif dan sebulat suara dalam Mesyuarat Khas DKU Bilangan 1/2026 pada 17 April lalu.
Menurut mereka, Perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 tidak memberi kuasa secara bersendirian kepada Yang di-Pertuan Besar selaku Pengerusi DKU untuk mengeluarkan sebarang nasihat bagi pihak dewan.
Sokongan terbuka itu menjadikan kemelut institusi adat Negeri Sembilan semakin serius apabila pertikaian yang pada awalnya tertumpu kepada kedudukan Undang Luak Sungai Ujong kini berkembang kepada sokongan terbuka sebahagian ahli DKU terhadap penurunan Tuanku dan pemasyhuran pemerintah baharu.



