JOHOR BAHRU, — Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Johor mengemukakan tiga cadangan strategik jangka pendek dan sederhana bagi merangsang ekonomi domestik serta memperkukuh daya tahan usahawan tempatan susulan ketidaktentuan geopolitik global, khususnya krisis di Timur Tengah.
Dalam satu kenyataan media hari ini, DPMM Johor menyambut baik usaha berterusan Kerajaan Madani dalam memacu pemulihan ekonomi negara, namun menegaskan keperluan langkah tambahan yang lebih bersasar bagi menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Cadangan pertama melibatkan pelaksanaan Skim Pembiayaan Ihsan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM7 bilion. Daripada jumlah itu, RM3 bilion dicadangkan disalurkan melalui agensi seperti MARA, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan PUNB bagi menyediakan pinjaman antara RM10,000 hingga RM100,000 khusus kepada syarikat mikro dan kecil Bumiputera.
Baki RM4 bilion pula dicadangkan melalui bank-bank komersial bagi menyokong syarikat kategori sederhana milik penuh rakyat Malaysia. Skim ini turut mencadangkan kadar faedah serendah 1.5 peratus, tempoh bayaran balik sehingga lima tahun, serta moratorium minimum enam bulan bagi meringankan tekanan aliran tunai usahawan.
Selain itu, DPMM Johor turut menggesa kerajaan meningkatkan perbelanjaan perolehan kerajaan sebanyak 30 peratus daripada peruntukan sedia ada. Langkah ini dilihat mampu menyuntik kecairan tunai secara langsung ke dalam ekosistem pasaran domestik, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
Cadangan ketiga menyentuh keperluan pelarasan kos (Variation Order – VO) luar jangka secara bersasar bagi projek kerajaan yang terkesan akibat kenaikan mendadak kos bahan mentah. Menurut DPMM Johor, langkah ini penting bagi memastikan kontraktor tempatan tidak terbeban dengan kos di luar kawalan serta menjamin projek dapat disiapkan mengikut jadual tanpa menjejaskan kualiti.
Dalam masa sama, DPMM Johor memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan krisis di Timur Tengah dan mengemukakan cadangan dari semasa ke semasa kepada kerajaan.
“Langkah-langkah ini penting bagi memastikan kestabilan dan daya tahan ekonomi negara serta kelangsungan usahawan tempatan terus terpelihara dalam menghadapi ketidaktentuan global,” menurut kenyataan itu.



