KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan berkata cadangan supaya menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka adalah pendapat peribadi beliau dan bukannya pendirian atau keputusan parti.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata cadangan itu disuarakan beliau berdasarkan pengalaman yang pernah menjadi Ketua Penerangan Umno dan Setiausaha Agung Umno di mana faktor ‘timing’ atau ketepatan masa dalam politik sangat penting.
“Saya memberi pandangan atas pendapat peribadi. Itu bukan keputusan Umno Johor atau mana-mana keputusan mesyuarat tertinggi,” katanya melalui kenyataan kepada BH di Johor Bahru pada Selasa.
Terdahulu, Ahmad dilapor berkata akan membawa usul bagi menangguhkan PRN Johor dan PRN Melaka ke Mesyuarat MKT Umno yang akan diadakan Jumaat ini di Melaka, susulan krisis geopolitik Asia Barat.
Beliau berkata, berdasarkan pandangan logik politik, tidak mungkin pilihan raya dapat dilaksanakan dalam keadaan geopolitik tidak menentu dengan kesusahan dialami rakyat ketika ini.
Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya memberi contoh Pilihan Raya Umum ke-15 yang disifatkan beliau sebagai kesilapan ‘timing’ yang menyebabkan Umno dan Barisan Nasional (BN) hilang kuasa.
“PRU15 adalah kesilapan ‘timing’ di mana sepatutnya diadakan selepas kejayaan PRN Johor pada Mac 2022 dan bukannya selepas Datuk Seri Najib Razak dipenjarakan pada Ogos 2022.
“Ketika itu emosi rakyat penuh dengan marah dan kecewa. Tidak boleh membuat sesuatu yang penting seperti PRN ketika emosi rakyat pada tahap negatif seperti marah dan kecewa ketika kenaikan diesel dan harga barang,” katanya.
Dalam konteks sekarang, Ahmad Maslan berkata emosi rakyat pada pandangan beliau penuh dengan kemarahan dan kekecewaan.
“Jika pandangan saya itu baik, boleh diikut. Jika tidak baik, maka abaikan sahaja.
“Namun jangan lupa bahawa politik juga adalah seni mengurus emosi dan seni mendengar denyut nadi rakyat,” katanya.



