KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Azalina Othman Said membawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjenguk Pulau Batu Puteh yang terlepas kepada Singapura.
“Lepas Majlis Peluncuran Kolej Vokasional Pengerang …saya tunjuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim jarak Batu Puteh dan Middle Rock (Batuan Tengah).
“Saya maklum kepada beliau ramai rakyat di kawasan saya mengeluh kerana dengan mudah semakan semula kedaulatan Batu Puteh ditarik balik dan kekal terlepas kepada Kerajaan Singapura.
“Ibarat sangat hampir, namun tetap jauh,” kongsinya di X pada Ahad.
Menurut Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang itu, ‘kita terlepas peluang kerana Malaysia tarik balik semakan tersebut pada Mei 2018.
Pada Mei 2018, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengumumkan Malaysia menarik diri secara rasmi permohonan rayuan keputusan melibatkan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.
Tahun lepas, kerajaan memutuskan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad atas faktor usia yang lanjut, tetapi tetap berpendirian dia bersalah.



