PN pun bergelut dalaman, macam mana nak yakinkan rakyat mereka sedia tadbir semula Perak? – Pemuda Amanah

KUALA LUMPUR- Pemuda Amanah Perak mempersoal kenyataan Pengerusi Bersatu Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang kononnya rakyat kini cenderung untuk menukar kerajaan dan mahukan Perikatan Nasional (PN) kembali memerintah.

Ketua Pemuda Amanah Perak Khairol Najib Hashim berkata, persoalannya, bagaimana sebuah gabungan yang masih bergelut dengan ketidaksefahaman dalaman boleh meyakinkan rakyat bahawa mereka bersedia untuk mentadbir negeri?

“Kenyataan Peja dilihat lebih bersifat persepsi politik berbanding realiti sebenar yang sedang dinikmati rakyat di negeri Perak hari ini.

“Hakikatnya, rakyat ketika ini berada dalam sebuah ekosistem pentadbiran negeri yang stabil di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad,” tegas beliau.

Khairol Najib berkata, Kerajaan Perpaduan di Perak telah membuktikan bahawa kerjasama antara pelbagai parti mampu menghasilkan pentadbiran yang matang, berfungsi dan berorientasikan rakyat.

“Ekonomi negeri berada pada landasan yang baik, pengurusan kewangan menunjukkan disiplin dengan rekod lebihan bajet, dan pelbagai inisiatif terus dilaksanakan bagi membantu rakyat dalam menghadapi tekanan kos sara hidup.

“Lebih penting, pentadbiran negeri hari ini berlangsung tanpa politiking sempit yang menjejaskan fokus kepada rakyat.

“Namun dalam masa yang sama, PN sendiri masih berdepan dengan isu dalaman yang belum selesai.

“Malah, soal asas seperti penentuan kepimpinan di peringkat negeri juga masih gagal dimuktamadkan, dengan perbezaan pandangan antara parti komponen yang berterusan,” katanya.

Justeru ujarnya, Pemuda Amanah Perak berpendapat bahawa rakyat hari ini lebih menghargai kestabilan, kecekapan dan kesinambungan dasar, bukan retorik politik yang tidak mencerminkan keadaan sebenar.

Sehubungan itu kata Khairol Nahib, sekiranya PN benar-benar ingin mendapatkan semula kepercayaan rakyat, adalah lebih wajar untuk mereka menyelesaikan terlebih dahulu isu dalaman mereka sebelum berbicara soal mengambil alih pentadbiran negeri.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat