KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan rayuan yang difailkan oleh Kerajaan Persekutuan bukanlah terhadap formula 40 peratus tersebut.
Menurut AGC, pada 6 April 2026, Mahkamah Rayuan telah membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menggantung pelaksanaan penghakiman yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2024 berhubung kajian semula Pemberian Khas Negeri Sabah dari tahun 1974 sehingga tahun 2021 sementara menunggu pendengaran rayuan Kerajaan Persekutuan di Mahkamah Rayuan.
“Penggantungan ini bagi membolehkan rayuan Kerajaan Persekutuan didengar dan tidak menjadi akademik dan sia-sia.
“Perintah penggantungan tersebut tidak meliputi dapatan Mahkamah Tinggi berkenaan peruntukan 40 peratus di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
“Jabatan Peguam Negara juga menegaskan bahawa rayuan yang difailkan olehKerajaan Persekutuan bukanlah terhadap formula 40 peratus tersebut,” jelasnya.
Namun AGC menyatakan, sebaliknya rayuan Kerajaan Persekutuan adalah terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi antara lain berkenaan beberapa isu melibatkan tafsiran peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga dapatan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasadan melanggar kewajipan perlembagaan sejak tahun 1974.



