KUALA LUMPUR – Ketua Bersatu Terengganu Datuk Razali Idris mengingatkan masa depan negara tidak boleh dibina atas persepsi semata-mata, tetapi atas realiti kehidupan rakyat yang sebenar.
Beliau berpandangan, Kerajaan Madani hari ini dilihat semakin gagal menangani tekanan kos sara hidup yang kian menghimpit rakyat.
“Pada masa yang sama, dasar-dasar yang dilaksanakan seolah-olah menambah beban, sehingga rakyat terasa semakin tertekan dan terbeban dengan kenaikan harga barang serta pengurangan subsidi.
“Apa yang lebih membimbangkan, apabila kesempitan ini berlaku, rakyat hanya diberikan bantuan bersifat sementara dan tidak menyeluruh serta tidak menyelesaikan masalah pokok.
“Rakyat tidak menolak bantuan, tetapi rakyat menuntut penyelesaian yang lebih adil, menyeluruh dan berjangka panjang.
“Jangan sampai rakyat dipaksa menerima keadaan, lalu digambarkan seolah-olah semuanya baik dan stabil,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.
Hakikatnya kata Razali, rakyat sedang menilai. Rakyat sedang merasai.
“Renung dan fikirkan bersama-masa depan negara tidak boleh dibina atas persepsi semata-mata, tetapi atas realiti kehidupan rakyat yang sebenar,” kata Adun Kijal itu.



