KUALA LUMPUR – Pas telah menghantar pemerhati ke satu perjumpaan bagi memenuhi jemputan Rumah Bangsa, yang diiklankan oleh Umno bagi melihat dan menyaksikan sendiri kalangan yang hadir.
Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, walaupun tanpa kehadiran wakil DAP, namun dapat dibaca segala yang tersirat.
Menurut beliau, tujuan pertemuan tersebut dilihat sebagai usaha menganjurkan perpaduan Melayu atas semangat kebangsaan tanpa berteraskan Islam.
“Hal ini demikian kerana, tetap bersahabat dan berwala’ kepada DAP semata-mata untuk membentuk kerajaan walaupun terpaksa meninggalkan prinsip asal perjuangannya.
“Wajib dipastikan siapa yang boleh menjadi kawan yang dipercayai atau lawan yang diragui kerana Allah mewajibkan kita memilih kawan yang soleh serta menjauhkan diri daripada kawan yang merosakkan urusan agama dan dunia yang menjadi jambatan ke akhirat.
“Dapat disaksikan betapa penyakit waswas daripada bisikan syaitan turut mengganggu ahli Umno sendiri, kerana berlawanan dengan perjuangan asal Umno yang meletakkan agama sebahagian daripada dasarnya. Sehinggakan, ramai yang keluar meninggalkan rumah yang tercabut dinding dan ditebuk atapnya kerana mudah dimasuki air dan ditiup angin.
“Ada yang menyelamatkan diri bersama Pas. Malah, ada juga yang masih beristiqamah dengan prinsip bahawa Islam dan Melayu wajib menjadi ketua rumah. Islam sahaja yang ditakuti oleh syaitan dan bala tentera hantunya. Melayu dan semua bangsa akan selamat bersama Islam. Tanpa Islam, Melayu berada dalam bahaya dan semua kaum tidak akan selamat,” katanya dalam catatan Minda Presiden Pas pada Khamis.
Ahli Parlimen Marang itu menyebut, dalam kalangan pemimpin Umno, ada yang berpegang dengan kepercayaan Melayu sebelum kepercayaan terhadap Islam, yang memastikan mereka bersahabat dengan semua pihak tanpa pilihan demi kemenangan untuk mendapatkan kuasa dan harta.
“Walaupun terpaksa berkawan dengan sesiapa sahaja termasuk segala jenis hantu, termasuk hantu raya yang paling besar serta pelbagai hantu yang bijak berkosmetik Islam.
“Selain itu, mereka turut dijamukan dengan pesta pemujaan yang dianggap boleh membantu bagi meneruskan kehidupan dan meluaskan rezeki. Jamuan tersebut disertai oleh lebai-lebai yang jahil dan kuat beribadat supaya menjadi tukang sembelih yang diharamkan dagingnya, seterusnya mengetuai doa apabila diadakan sembahyang hajat yang bercampur antara doa dengan amalan syirik.
“Pas dan ahlinya yang beristiqamah tidak terpengaruh dengan umpan serta tipu daya syaitan dan sekutunya, yang selama ini menjadi senjata lapuk dalam kalangan Umno yang jahil dan diteruskan pula apabila Umno bersahabat karib dengan Pakatan Harapan (PH).
“Senjata lapuk tersebut telah gagal mempertahankan kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu, sehingga terpaksa menubuhkan kerajaan perpaduan minoriti yang bergantung kepada sokongan hantu (pihak tertentu) dari dalam negeri dan luar negara.
“Pendekatan tersebut hanya boleh menggoda dan menarik pengundi warga tua di saluran satu bersama sokongan kalangan bukan Islam.
“Adapun pengundi muda yang mula bijak berfikir secara lebih matang, mereka telah menolak PH sejak PRU-15 sebagaimana mereka menolak Barisan Nasional (BN) sebelumnya, disebabkan gabungan itu bersama sokongan musuh Islam daripada kalangan bukan Islam dalam DAP yang memperjuangkan politik merampas kuasa secara halus dengan pujukan godaan syaitan yang menarik.
“Sehinggakan, sebahagian daripada orang Melayu turut menjadi pendukung yang memberikan wala’ kepada musuh, sekali gus menjenamakan Umno bersama parti-parti lain yang berada dalam satu saf bersamanya,” katanya.
Justeru tegas Hadi, Pas tidak bersedia berada dalam rumah besar yang tidak beratap dan tercabut dindingnya, sehingga dimasuki syaitan-syaitan yang menggoda dan melalaikan.



