KUALA LUMPUR, 12 Mac 2026 – Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima wang tunai RM50,000 tanpa balasan daripada anak bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, kira-kira lapan tahun lalu.
Tertuduh, Khuzairi Yahaya, 55, yang merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pendaftaran dan Perkhidmatan Perniagaan) SSM, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan, Khuzairi didakwa menerima untuk dirinya suatu benda berharga tanpa balasan iaitu wang tunai RM50,000 daripada Muhammad Faisal Hamzah, sedangkan beliau mengetahui individu berkenaan mempunyai hubungan dengan urusan rasminya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat SSM@Sentral di sini pada Mei 2018.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fadhly Mohd Zamry, memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.
Beliau berkata jumlah jaminan tersebut adalah munasabah memandangkan kesalahan yang dihadapi adalah serius serta bagi mengelakkan kemungkinan tertuduh melarikan diri.
Peguam Muhamad Aizat Fakri yang mewakili Khuzairi tidak membantah permohonan jaminan dan syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon.
Hakim turut menetapkan 20 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.



