Ujian Tuhan buat PAS

Sabtu ini (14 Mac 2026) akan berlangsung mesyuarat pertama Perikatan Nasional (PN) dibawah pimpinan Datuk Ahmad Samsuri Mokhtar – Naib Presiden PAS, Menteri Besar Terengganu dan dianggap pelapis kepimpinan baharu parti tersebut.

Jika ditanya sesiapa pun beberapa bulan lalu (kecuali penyokong tegar Pakatan Harapan dan Barisan Nasional), mereka percaya PN akan menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum akan datang – baik calon Perdana Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin, mahu pun Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Namun bunga yang mekar itu tidak selamanya mekar. Politik penuh liku dan gelora. Timbalan yang tidak sabar mengenepikan Presiden menggugat kestabilan PN. Sejarah panjang Timbalan Presiden yang kecundang akibat perebutan kuasa – Tun Musa Hitam (UMNO), Datuk Seri Anwar Ibrahim (UMNO), Tan Sri Muhyiddin Yassin (UMNO) Datuk Seri Azmin Ali (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli (PKR) dan kini Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Bersatu).

Menariknya, mereka semua naik menjadi timbalan dengan restu dan bantuan Presiden, namun akhirnya menjadi ancaman kepada Presiden. Sudah tentu hujahan setiap mereka ada kes berlainan. Ada yang Presiden benar, ada juga yang timbalan benar.

Namun itu semua sejarah kecuali Hamzah. Hamzah masih dalam perjalanan mahu mengulangi sejarah Muhyiddin Yassin – orang yang memecat beliau.

Apabila Muhyiddin – Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO – dipecat kerana menentang Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, beliau menubuhkan Bersatu dan bergabung dengan mentornya Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta nemesisnya, DAP bagi menjatuhkan Mohd Najib. Muhyiddin berjaya!

Selepas itu, beliau kemudiannya memulakan langkah meninggalkan nemesisnya DAP. Beliau berjaya dan menjadi Perdana Menteri, walaupun kemudian terpaksa berpecah dengang kumpulan Tun Mahathir. Beliau kemudian dijatuhkan oleh UMNO, tetapi tetap menyokong UMNO mengambil alih kepimpinan negara ketika pandemik.

Pada tahun 2022, beliau memimpin PN memenangi 74 kerusi Parlimen, sesuatu yang tidak ramai meramalkannya dalam pilihan raya yang dilihat pertarungan BN-PH.

Hari ini Hamzah mahu mengulangi sejarah itu. Namun ia bukan mudah. Muhyiddin dipecat kerana menentang 1MDB, manakala Hamzah dipecat kerana cuba menjatuhkan Presiden dan tuduhan mahu membentuk kerajaan pintu belakang kali kedua bersama UMNO tanpa mandat parti.

Ketika di pecat Muhyiddin menubuhkan Bersatu sebagai alternatif kepada UMNO, satu segmen orang Melayu yang sangat diperlukan oleh Pakatan Harapan (PH).

Masa kini Hamzah tidak ada kelebihan itu. Segmen pengundi yang boleh ditarik oleh Hamzah turut ada pada PN melalui Bersatu, dan ada juga pada PH-BN melalui UMNO.

Pertimbangan logik, PN dan BN-PH tidak memerlukan kumpulan Hamzah dan apa sahaja parti yang akan dibentuk oleh beliau nanti.

Ujian buat PAS

Namun Hamzah ada satu ‘trump card’ iaitu sokongan PAS kepada beliau. Sebahagian pemimpin utama PAS termasuk Tan Sri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Samsuri Ahmad dan Datuk Seri Taiyuddin Hasan memihak kepada Hamzah.

Walaupun sumber PAS mendakwa Abdul Hadi memihak kepada Hamzah kerana marah dengan krisis di Perlis. Namun adalah mustahil Abdul Hadi berfikiran begitu singkat ketika seluruh negara tahu jatuhnya Menteri Besar Perlis, Encik Mohd Shukri Ramli adalah kerana krisis beliau dengan Istana.

Andaian terdekat ialah PAS memihak kepada Hamzah kerana faktor kewangan menjelang pilihan raya umum akan datang. Gosip dalam lingkungan politik, Hamzah adalah ‘santa claus’ dalam PN. Ketika akaun Bersatu dibekukan, Hamzah masih mempunyai kekuatan kewangan untuk membiayai banyak gerakan dan kempen pilihan raya.

Atas sebab itu dikatakan PAS bermati-matian menghentam Muhyiddin dalam isu Perlis. Mereka mahu Muhyiddin bukan sahaja berundur sebagai Pengerusi PN tetapi juga sebagai Presiden Bersatu.

Namun Muhyiddin sama seperti hampir semua pemimpin politik, selagi ditekan, selagi itu akan melawan. Muhyiddin berundur sebagai Pengerusi PN dan meminta PAS memimpin. Apala ada desas-desus PAS mahu melantik Hamzah sebagai Pengerusi,  Bersatu membuat keputusan drastik memecat Hamzah – sekaligus menutup peluang menggantikan Hamzah secara langsung.

Kini Hamzah bukan lagi dalam PN sekaligus menyukarkan agenda tersebut, maka PAS memilih Samsuri. Begitu pun PAS masih dilihat menyebelahi Hamzah. Muhyiddin diherdik oleh Samsuri, permintaan Bersatu agar jawatan Ketua Pembangkang diganti telah didolak dan dalih buat sementara waktu bagi membeli masa mencari jalan mengekalkan Hamzah.

Secara teori PAS boleh mengekalkan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang biarpun mengguris perasaan Bersatu dan Muhyiddin.

Namun di sinilah ujian Tuhan buat PAS! Apakah PAS akan memegang prinsip bahawa PN harus menghormati keputusan disiplin dalaman parti komponen, atau ia hanya terpakai kepada PAS sebagai abang besar.

Jika dalam krisis Perlis PAS memilih berperang dengan Muhyiddin dan menuntut agar Bersatu menghormati keputusan disiplin ke atas tiga Adun mereka. Mereka juga menghalang mana-mana Adun PAS memegang jawatan EXCO atas alasan menghormati disiplin parti.

Maka kini giliran PAS membuat keputusan.

Masa depan PN

Mesyuarat PN Sabtu ini seharusnya menamakan Ketua Pembangkang yang baharu. Namun jika PAS mengekalkan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang, maka jelaslah hala tuju PN kini adalah atas ihsan PAS,  bukannya kerana kesepakatan parti-parti komponen.

Ini bukan sahaja akan meneruskan keretakan dalam PN tetapi juga menimbulkan tanda tanya kepada rakyat, apakah PN akan berubah dari sebuah ikatan politik berasaskan masyarakat majmuk dan sederhana kepada boneka PAS untuk menjadi kerajaan?

Ia juga akan menguji kepimpinan Samsuri, apakah beliau mampu menunjukkan kepimpinan ‘poster boy’ atau ia sekadar ‘posto boy’?

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat