Brandfilm Raya “Ya, Abah Saya Security” buktikan iklan Raya kini medium penceritaan paling meruntun jiwa

KUALA LUMPUR: Menjelang Aidilfitri, tradisi iklan raya yang menyentuh emosi kembali mencuri perhatian. Tahun ini, jenama D’Herbs tampil dengan pendekatan berbeza menerusi brandfilm bertajuk “Ya, Abah Saya Security”, sebuah naskhah yang mengangkat realiti kehidupan dan nilai kekeluargaan yang sering terlepas pandang.

Tidak sekadar menjadi medium promosi jenama, filem pendek ini dilihat sebagai satu bentuk penceritaan yang lebih jujur dan dekat dengan masyarakat, khususnya tentang pengorbanan seorang bapa yang bekerja keras demi masa depan anak-anak.

Diterbitkan oleh D’Herbs dengan kerjasama Tangerine Pictures serta diarahkan oleh Bobby Husaini, karya ini mengangkat kisah seorang bapa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan satu pekerjaan yang sering dipandang biasa, namun sarat dengan nilai pengorbanan dan maruah.

Menurut usahawan dan pengasas D’Herbs, Dato’ Aliff Syukri, beliau memilih untuk menghasilkan naskhah tersebut kerana mahu membawa mesej yang lebih mendalam berbanding sekadar iklan komersial.

“Setiap tahun kita lihat iklan raya yang menyentuh hati, tetapi saya mahu sesuatu yang benar-benar dekat dengan kehidupan sebenar. Kisah ini sebenarnya mencerminkan realiti ramai keluarga di luar sana yang berjuang demi anak-anak,” katanya.

Melalui naskhah ini, Aliff turut berharap masyarakat dapat melihat semula perspektif terhadap pekerjaan yang sering dianggap biasa.

Katanya, setiap pekerjaan mempunyai nilai dan maruah tersendiri, terutama apabila ia dilakukan demi keluarga.

“Kadang-kadang kita terlalu cepat menilai pekerjaan seseorang. Hakikatnya, di sebalik uniform seorang pengawal keselamatan itu ada seorang bapa yang sedang berjuang untuk masa depan anaknya,” ujarnya.

Watak bapa dalam filem pendek ini dilakonkan oleh pelakon berkaliber, Azhan Rani, yang berjaya menghidupkan karakter seorang lelaki sederhana namun penuh kasih sayang terhadap keluarga.

Azhan mengakui watak tersebut memberi impak emosi yang mendalam sepanjang proses penggambaran kerana kisahnya sangat dekat dengan realiti kehidupan masyarakat.

“Watak ini bukan sekadar tentang seorang pengawal keselamatan, tetapi tentang pengorbanan seorang bapa yang tidak pernah meminta balasan,” katanya.

Sementara itu, pengarah Bobby Husaini menjelaskan bahawa kekuatan utama naskhah tersebut terletak pada kejujuran cerita yang diangkat.

Menurutnya, pendekatan penceritaan yang sederhana tetapi sarat emosi menjadikan filem pendek itu mampu menyentuh hati penonton tanpa perlu elemen dramatik yang berlebihan.

Selain Azhan Rani, filem pendek ini turut dibintangi oleh Mikael Noah, Niezam Zaidi dan Megat Sharizal yang masing-masing membawa peranan penting dalam memperkukuhkan jalan cerita.

“Ya, Abah Saya Security” dijadualkan mula ditayangkan kepada umum menerusi platform media sosial pada 12 Mac ini.

Melalui naskhah ini, D’Herbs bukan sahaja menyumbang kepada tradisi iklan raya yang menyentuh hati, malah membuka ruang kepada perbincangan lebih luas tentang penghargaan terhadap ibu bapa serta nilai sebenar sebuah pengorbanan dalam institusi keluarga.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat