KUALA LUMPUR – DAP mengambil perhatian serius terhadap dakwaan sebuah media asing berkenaan kewujudan gejala “mafia korporat” dan institusi SPRM digunakan oleh syarikat tertentu sebagai alat untuk mencapai matlamat kepentingan peribadi.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP mengingatkan kerajaan supaya menangani isu ini dengan berkesan untuk mempertahankan kewibawaan institusi SPRM melalui penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat secara meyeluruh dakwaan tersebut dan mencadangkan langkah-langkah untuk mencegah penyalahgunaan kuasa dalam institusi tersebut.
“Selain itu, CEC DAP juga menyatakan kekecewaan terhadap kegagalan Dewan Rakyat meluluskan RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun dan menyeru kerajaan untuk membentangkan semula RUU tersebut dalam Sidang Parlimen yang akan datang untuk merealisasikan agenda reformasi yang penting ini.
“CEC DAP menyokong keputusan kerajaan untuk merujuk RUU Pengasingan Peguam Negara dan Pendakwa Raya ke Jawatankuasa Pilihan Khas dan menyatakan komitmen untuk menambah baik aspek akauntabiliti dan ketelusan proses pelantikan jawatan tersebut melalui wakil DAP dalam jawatankuasa tersebut iaitu Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jelas beliau, DAP terus komited untuk mendokong agenda reformasi institusi dalam kerajaan dan tidak berkompromi dalam sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa serta menyokong penuh agenda memerangi rasuah.



