Langkah Bangkok satu lagi usaha menjatuhkan Anwar yang bocor di tengah jalan?

KUALA LUMPUR,– Pendedahan mengenai pertemuan yang dikaitkan dengan “Langkah Bangkok” bukan sahaja mengesahkan gosip politik yang berlegar sejak akhir tahun lalu, malah membuka semula perbincangan mengenai percaturan politik besar yang mungkin sedang berlaku di belakang tabir.

Istilah “Langkah Bangkok” mula diperkatakan selepas Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan kepada media bahawa berlaku pertemuan antara Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bangkok.

Pendedahan itu kemudian disusuli dengan kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mengesahkan bahawa memang wujud usaha pertemuan dengan pelbagai pihak bagi membincangkan kemungkinan penyatuan parti-parti Melayu.

Namun perkembangan itu menimbulkan pelbagai persoalan baharu mengenai motif sebenar pertemuan tersebut serta implikasinya terhadap landskap politik negara.

Apa motif sebenar Langkah Bangkok?

Jika tujuan pertemuan itu sekadar untuk membincangkan perpaduan parti Melayu, persoalan yang mula dibangkitkan ialah mengapa ia perlu dilakukan secara sulit di Bangkok.

Secara teorinya, rundingan politik antara pemimpin parti Melayu boleh sahaja diadakan secara terbuka di lokasi yang sering menjadi tempat pertemuan politik seperti ‘White House’ atau ‘Country Heights’.

Sumber politik mendakwa bahawa antara perkara yang didakwa dibincangkan dalam pertemuan tersebut ialah kemungkinan penjajaran politik baharu yang menyaksikan Ahmad Zahid diangkat sebagai Perdana Menteri manakala Hamzah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada rancangan tersebut bertujuan dilaksanakan sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Sekiranya dakwaan ini benar, ia menunjukkan bahawa pertemuan tersebut mungkin mempunyai agenda yang lebih besar daripada sekadar perbincangan mengenai perpaduan politik Melayu.

Punca perpecahan dalam Bersatu

Pendedahan mengenai pertemuan tersebut turut membuka persoalan mengenai dinamika dalaman Bersatu sendiri.

Dalam wawancara bersama media beberapa hari lalu, Muhyiddin secara terbuka membangkitkan persoalan mengenai mandat yang digunakan oleh Hamzah untuk mengadakan rundingan tersebut.

Persoalan beliau – “atas mandat siapa Hamzah berunding?” – dilihat mencerminkan kemungkinan wujud perbezaan strategi dalam kepimpinan parti itu.

Menurut Muhyiddin, Hamzah tidak mengaku tentang langkah tersebut, namun beliau mempunyai maklumat ia benar-benar berlaku.

Justeru kenyataan Wan Saiful yang dilihat berada dalam kem Hamzah telah mengesahkan wujud Langkah Bangkok yang selama ini menjadi gosip politik sahaja.

Dilema PAS

PAS turut terseret dalam dilema ini. Dikatakan ada kepimpinan kanannya turut terlibat dan mahu menubuh kerajaan baharu sebelum pilihan raya umum.

Malangnya, pertemuan itu dikatakan telah pun diketahui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Malah sumber PAS percaya Anwar mengetahui butiran perbincangan tersebut.

“Beberapa minggu selepas pertemuan itu berlangsung, salah seorang individu yang didakwa menjadi “orang tengah” kepada rundingan tersebut dilaporkan telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata sumber PAS yang yakin bahawa butiran perbincangan telah sampai kepada Perdana Menteri.

Media sebelum ini melaporkan bahawa SPRM membuka siasatan terhadap seorang bekas menteri berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan kelulusan projek di Wilayah Persekutuan selepas agensi itu memperoleh petunjuk baharu berkaitan kes lama hampir sedekad lalu.

Walaupun tiada bukti rasmi yang mengaitkan siasatan tersebut dengan pertemuan di Bangkok, perkembangan itu menimbulkan spekulasi dalam kalangan pemerhati politik bahawa maklumat mengenai rundingan tersebut mungkin telah bocor lebih awal daripada jangkaan.

“Cuma kita tidak pasti siapa yang membocorkan, Hamzah atau Zahid,” kata seorang pembantu kepada pemimpin kanan PAS yang mahu kekal ketanpanamaan.

Dari Dubai ke Bangkok: percaturan yang tersilap kira?

Kemunculan istilah “Langkah Bangkok” juga mengingatkan pemerhati politik kepada satu lagi episod yang pernah menggemparkan politik negara sebelum ini – “Langkah Dubai”.

Ketika kontroversi itu timbul pada awal 2024, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa kerajaan telah menerima laporan risikan mengenai pertemuan beberapa tokoh politik Malaysia di Dubai seawal penerbangan mereka menuju ke sana.

Menurut beliau, maklumat mengenai pertemuan tersebut telah diketahui pihak berkuasa sejak awal lagi, walaupun identiti penuh individu yang terlibat tidak pernah didedahkan secara rasmi.

Langkah Dubai ketika itu dikaitkan dengan dakwaan usaha membentuk jajaran kuasa baharu di Parlimen bagi menggugat kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun episod tersebut akhirnya berlalu tanpa sebarang perubahan terhadap kerajaan sedia ada.

Kini dengan kemunculan Langkah Bangkok, beberapa pemerhati politik melihat persamaan tertentu antara kedua-dua episod tersebut – rundingan politik di luar negara, kebocoran maklumat pada peringkat awal dan spekulasi mengenai penjajaran kuasa baharu.

Dalam kedua-dua naratif tersebut, nama Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin turut disebut dalam kalangan pemerhati politik sebagai antara tokoh yang dikaitkan dengan usaha membina jajaran politik baharu.

Sekiranya kedua-dua episod tersebut mempunyai kaitan, ia menimbulkan persoalan sama ada percaturan politik yang sama sebenarnya telah cuba dilakukan lebih daripada sekali.

Namun seperti yang berlaku dalam episod Dubai, pendedahan awal mengenai rundingan tersebut mungkin menyebabkan strategi yang dirancang gagal dimatangkan.

Setakat ini tiada pihak yang mengesahkan bahawa pertemuan di Bangkok bertujuan menjatuhkan kerajaan pimpinan Anwar.

Namun bagi pemerhati politik, kemunculan dua episod yang hampir serupa – dari Dubai ke Bangkok – menimbulkan satu persoalan besar: adakah percaturan politik tertentu sebenarnya gagal bukan kerana kekurangan sokongan, tetapi kerana tersilap membaca realiti kuasa dan masa yang sesuai.

Ada dua perkara yang boleh menyebabkan Perdana Menteri hilang majoriti dan boleh diganti. Pertama, ada isu terlalu besar yang menyebabkan semua orang mahu menjauhi beliau. Kedua, perkenan Seri Paduka Baginda.

Tanpa kedua-dua perkara ini, Anwar tidak mungkin dijatuhkan dan Anwar tidak mungkin seperti Tun Dr Mahathir secara sukarela meletak jawatan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat