KUALA LUMPUR,— Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya menegaskan beliau tidak pernah menguruskan kewangan atau operasi harian Rehla Travel dan hanya dinamakan dalam saman sivil atas kapasiti sebagai ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan.
Dalam kenyataan rasmi hari ini, Fathul Bari berkata peranannya dalam Rehla Travel adalah sebagai Ahli Lembaga Pengarah (BOD) dan pemegang saham minoriti, manakala urusan kewangan, tiket serta operasi harian dikendalikan sepenuhnya oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pihak pengurusan.
“Saya tidak menerima walau satu sen pun daripada wang yang menjadi pertikaian ini, jauh sekali menggunakannya untuk kepentingan peribadi. Wang tersebut bukan milik saya dan tidak pernah berada dalam kawalan atau manfaat peribadi saya,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa keputusan kewangan dan pembayaran dibuat di peringkat pengurusan berdasarkan kedudukan kewangan semasa serta pertimbangan para pelabur, dan bukan di bawah kawalan beliau secara langsung.
Fathul Bari turut menegaskan bahawa kes tersebut merupakan pertikaian komersial antara Rehla Travel dan KRS Travel Sdn Bhd dalam konteks hubungan kontrak perniagaan, dan bukan melibatkan jemaah haji atau umrah.
“Tiada jemaah yang menuntut daripada Rehla Travel atau saya secara peribadi. Ia bukan isu antara syarikat dan jemaah, sebaliknya pertikaian antara dua entiti perniagaan,” katanya.
Menurut beliau, isu berkenaan timbul susulan pembatalan penerbangan umrah akibat pandemik COVID-19, apabila sebahagian bayaran tiket yang dituntut daripada pihak syarikat penerbangan tidak dipulangkan sepenuhnya.
Beliau berkata, Rehla Travel telah menuntut pemulangan kira-kira RM1.8 juta, namun hanya menerima sekitar RM1.3 juta, menyebabkan berlaku kekurangan kira-kira RM500,000 daripada jumlah asal.
Dalam situasi krisis ketika itu, katanya, keputusan korporat dibuat berdasarkan kemampuan kewangan syarikat dan kedudukan pelabur.
Mengulas keputusan Mahkamah Tinggi, Fathul Bari berkata beliau menghormati institusi kehakiman dan memaklumkan kes berkenaan kini dalam proses rayuan.
“Oleh kerana perkara ini masih dalam proses rayuan, saya tidak akan mengulas secara terperinci mengenai dapatan mahkamah bagi mengelakkan sebarang unsur sub judice. Kami menyerahkan sepenuhnya kepada proses perundangan yang sedang berjalan,” katanya.
Beliau berharap masyarakat dapat menilai isu tersebut secara adil dalam konteks pertikaian komersial syarikat dan bukan sebagai isu penyalahgunaan dana atau pengabaian kebajikan jemaah.



