“Berhari Raya” Angkat nama SecondPlan dengan sentuhan Retro Syawal

Kemunculan semula kumpulan yang kini dikenali sebagai SecondPlan membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni mereka apabila memilih untuk mempertaruhkan karya berkonsepkan retro sebagai simbol transformasi.

Dahulu dikenali sebagai Sofazr, kumpulan ini kini bergerak dengan identiti baharu selepas melalui proses penjenamaan semula. Dengan formasi empat anggota Zimi (gitaris), Amir (vokalis), One (dram) dan Fairouz (bassis) mereka tampil lebih fokus dan matang dalam menentukan hala tuju muzik.

Menariknya, single raya berjudul “Berhari Raya” bukan sekadar lagu bermusim, sebaliknya menjadi manifestasi kepada evolusi bunyi dan identiti mereka sebagai SecondPlan. Jika sebelum ini mereka dikenali dengan warna muzik yang lebih moden, kali ini mereka berani bereksperimen dengan elemen light rock era 60-an yang sarat nuansa nostalgia.

Langkah ini dilihat sebagai strategi bijak menggabungkan sentimen perayaan dengan sentuhan klasik yang dekat di hati pelbagai generasi. Dalam lambakan lagu raya moden yang rancak dan kontemporari, SecondPlan memilih untuk menonjol dengan pendekatan yang lebih ‘timeless’, membangkitkan memori suasana Syawal era lampau.

Lebih menarik, proses pembikinan lagu ini berlangsung dalam tempoh yang sangat singkat, sekitar dua hingga tiga hari sahaja. Namun kepantasan itu tidak menjejaskan kualiti, malah membuktikan keserasian serta pengalaman anggota kumpulan ini dalam menghasilkan karya yang tersusun dan matang.

“Berhari Raya” juga membawa makna yang lebih peribadi apabila ia dihasilkan sebagai tanda penghargaan buat peminat setia yang terus menyokong perjalanan seni mereka, termasuk sepanjang tempoh peralihan nama kumpulan.

Sebagai karya raya ketiga selepas “Inilah Harinya” dan “Ingatan di Hari Raya”, lagu ini seakan menjadi jambatan antara legasi lama dan fasa baharu mereka. Ia bukan sahaja meraikan Syawal, tetapi turut meraikan kelahiran semula sebuah kumpulan dengan semangat dan identiti yang diperbaharui.

Single terbitan Nova Music Malaysia ini mula distrim di semua platform digital pada 27 Februari 2026, manakala muzik video rasminya bakal menemui penonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos dalam masa terdekat.

Dengan perancangan untuk melancarkan single baharu selepas musim perayaan, jelas bahawa SecondPlan tidak sekadar hadir untuk nostalgia tetapi bersedia membina bab seterusnya dalam industri muzik tanah air dengan lebih yakin dan segar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat