KUALA LUMPUR, — Pendakwah dan aktivis, Firdaus Wong Wai Hung mendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah meminta Facebook mengehadkan capaian hantaran beliau berkaitan isu tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap reruai Street Dakwah Multiracial Reverted Muslims (MRM).
Menurut Firdaus, beliau menerima notifikasi daripada Facebook pada tengah malam 28 Februari memaklumkan bahawa hantaran bertarikh 17 Februari mengenai tindakan DBKL telah dihadkan di Malaysia atas permintaan pihak berkuasa.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai pelik kerana ia berlaku lebih 10 hari selepas hantaran dibuat dan selepas isu berkenaan diselesaikan.
“Posting saya tentang DBKL merampas reruai Street Dakwah MRM ialah pada 17 Februari. Pada 23 Februari, saya bertemu SUPOL PMX dan DBKL memulangkan semula barangan yang dirampas. Kes telah selesai dan saya tidak lagi menulis tentang isu itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Firdaus berkata, isu tersebut kembali dibangkitkan apabila Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjawab soalan di Parlimen pada 26 Februari, sebelum beliau membuat satu hantaran menyatakan akan menjawab kenyataan tersebut apabila berkelapangan.
Beliau mempersoalkan mengapa hantaran asal berkaitan DBKL itu hanya dihadkan selepas lebih 10 hari dan bukannya lebih awal sekiranya ia didakwa mengandungi maklumat tidak tepat.
“Kalau posting saya tak betul, kenapa tidak dakwa saya? Bukankah SKMM mempunyai punca kuasa? Apa yang ditulis adalah fakta. Takkan SKMM takut dengan fakta?” katanya.
Firdaus turut membandingkan situasi tersebut dengan pentadbiran sebelum ini, dengan mendakwa tidak pernah berlaku sekatan sedemikian terhadap hantaran beliau ketika Gobind Singh Deo memegang portfolio Menteri Komunikasi.
Beliau juga menegaskan bahawa hantaran tersebut hanya menyentuh tindakan DBKL dan tidak ditujukan secara peribadi kepada mana-mana menteri.
Setakat ini, SKMM belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.



