KOTA KINABALU, — Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berpandangan Sabah dan Sarawak berpotensi menjadi kuasa penentu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya persaingan berlangsung sengit tanpa mana-mana gabungan memperoleh majoriti jelas.
Menurut beliau, Sabah dan Sarawak mempunyai 56 kerusi Parlimen dan bersama Labuan menjadikan jumlah keseluruhan 57 kerusi — satu angka yang signifikan dalam menentukan pembentukan Kerajaan Persekutuan.
“Untuk membentuk kerajaan, perlu sekurang-kurangnya 112 kerusi. Jika tiada pihak menang besar, Borneo boleh menjadi penentu,” katanya.
Bagaimanapun, Salleh menegaskan bahawa kekuatan sebenar bukan sekadar terletak pada jumlah kerusi, sebaliknya bergantung kepada keupayaan Sabah dan Sarawak untuk bersatu serta membawa agenda bersama yang jelas dan konsisten.
Beliau berkata, dalam suasana politik di Semenanjung yang semakin banyak berkisar tentang isu kaum, agama dan persaingan ideologi, Sabah dan Sarawak perlu kekal tenang serta memberi tumpuan kepada kepentingan negeri.
“Keutamaan kita ialah kestabilan, pembangunan, pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), perkongsian hasil yang adil dan pengukuhan hak negeri,” katanya.
Salleh turut menyentuh perbezaan landskap politik antara Sabah dan Sarawak. Menurutnya, Sarawak berada dalam kedudukan lebih tersusun kerana kebanyakan parti yang bertanding adalah parti tempatan, manakala di Sabah, keadaannya lebih kompleks dan memerlukan formula kerjasama yang sesuai serta boleh diterima bagi menjaga kepentingan negeri.
Beliau menegaskan bahawa PRU akan datang bukan sekadar soal siapa yang akan menjadi Perdana Menteri, sebaliknya melibatkan persoalan lebih besar — sama ada Borneo mahu tampil berpecah atau bersatu sebagai rakan setara dalam Persekutuan.
“Dalam keadaan tidak menentu, perpaduan bukan soal emosi. Ia adalah strategi dan mungkin satu-satunya kekuatan yang kita ada,” katanya.



