Bila PM sendiri jadi cytro, Rafizi tidak yakin siasatan ke atas Azam Baki akan telus

KUALA LUMPUR, — Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli meluahkan keraguan terhadap ketelusan siasatan ke atas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dengan mendakwa tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebarkan kandungan media sosial berkaitan isu tersebut menunjukkan pendirian awal telah dibuat.

Dalam podcast terbaharu beliau, Rafizi mendakwa Perdana Menteri sendiri telah menghantar kandungan TikTok ke kumpulan WhatsApp yang menurutnya menguatkan naratif mempertahankan Azam Baki daripada kritikan dan pendedahan.

Menurut Rafizi, kandungan TikTok yang dihantar itu memaparkan naratif yang mempersoalkan tindakan parti MUDA yang menggesa siasatan terhadap Azam Baki, serta memaparkan gambar beberapa tokoh termasuk Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, isterinya Toh Puan Naimah Khalid, serta ahli keluarga Tun Dr Mahathir Mohamad seperti Mirzan Mahathir dan Mokhzani Mahathir.

Beliau mendakwa kandungan tersebut cuba memberi gambaran bahawa MUDA dan pihak-pihak tertentu merupakan alat kepada tokoh-tokoh berkenaan dalam usaha menyerang Azam Baki.

“PMX beria jadi cytro backup Azam Baki. Maksudnya dia sendiri yang forward video ini. Tengok ini, dia forward satu kandungan TikTok yang mempersoalkan kenapa MUDA nak tangkap Azam Baki dan memaparkan gambar beberapa tokoh tertentu untuk membentuk naratif tertentu,” katanya.

Rafizi berkata tindakan Perdana Menteri menyebarkan kandungan sedemikian menimbulkan persoalan mengenai pendirian sebenar beliau terhadap siasatan yang sedang berjalan.

“Tapi bila keluar Datuk Seri Anwar sendiri yang jadi cytro, dok forward perkara-perkara yang menunjukkan dan mengiakan naratif sekarang kononnya Azam Baki ini diserang oleh kumpulan-kumpulan yang korup — itu naratif dia. Itu menunjukkan itu pendirian dia,” katanya.

Menurut Rafizi, tindakan tersebut memberi gambaran bahawa Perdana Menteri telah membuat kesimpulan mengenai integriti Azam Baki sebelum siasatan selesai.

“Maksudnya Perdana Menteri berpandangan bahawa Azam Baki ini bersih dan semua yang telah disiarkan oleh Bloomberg itu, dia tak berminat langsung untuk tahu pendedahan-pendedahan itu. Dia tak berminat untuk siasat,” katanya.

Beliau berkata keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai kebebasan siasatan, memandangkan individu yang dilantik untuk menjalankan siasatan tersebut melapor terus kepada Perdana Menteri.

“Jadi tiga orang yang dilantik untuk menyiasat Azam Baki itu, ketiga-tiganya membuat laporan kepada Perdana Menteri — Peguam Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan. Semuanya staff dia, report kepada Perdana Menteri,” katanya.

Rafizi mendakwa tindakan Perdana Menteri menyebarkan kandungan yang mempertahankan Azam Baki sebelum siasatan selesai memberi gambaran bahawa keputusan telah dibuat lebih awal.

“Bila Perdana Menteri belum siasatan bermula pun, dia dah jadi cytro macam ini, dia dah buat kesimpulan. Kita tahulah ke mana akhirnya nanti,” katanya.

Kontroversi mengenai Azam Baki tercetus susulan pendedahan media antarabangsa Bloomberg berkaitan dakwaan pemilikan saham dan potensi konflik kepentingan, yang membawa kepada penubuhan panel untuk meneliti perkara tersebut.

Rafizi bagaimanapun menegaskan bahawa tindakan Perdana Menteri menyebarkan naratif sedemikian berpotensi menjejaskan keyakinan awam terhadap integriti dan kebebasan proses siasatan. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat