Oleh Ab Jalil Backer
Lebih 50 tahun lalu, pemikir pascamoden Perancis, Jean Baudrillard, mengemukakan gagasan bahawa simulasi akhirnya akan mengambil alih realiti. Hari ini, sebahagian besar kehidupan manusia seolah-olah telah meninggalkan dunia nyata dan berpindah ke dalam apa yang disebut sebagai hiperrealiti (hyperreality).
Kemunculan kecerdasan buatan (AI) seakan-akan menguraikan kekusutan falsafah Baudrillard dan pemikiran pascamoden yang suatu ketika dahulu kelihatan begitu abstrak dan kompleks.
Apa yang dahulunya dibahaskan dalam wacana falsafah kini dapat disaksikan melalui telefon pintar di tangan kita.
Malangnya, kemajuan pesat dunia digital turut membawa kesan negatif yang sangat dahsyat kepada manusia.
Hari ini, kita semakin sukar membezakan antara kejadian sebenar dengan video yang dihasilkan menggunakan AI. Wajah boleh dicipta, suara boleh ditiru dan peristiwa yang tidak pernah berlaku boleh dipersembahkan seolah-olah benar-benar terjadi.
Fitnah dan pemalsuan bukan lagi sekadar cerita rekaan, tetapi boleh dihasilkan dalam bentuk visual dan audio yang kelihatan begitu nyata.
Kebergantungan manusia terhadap dunia digital sudah melangkaui urusan komunikasi dan hiburan. Kita bukan sahaja menyerahkan maklumat peribadi, malah membenarkan sistem digital menentukan kekayaan, keselamatan dan kelangsungan kehidupan.
Wang disimpan dalam sistem perbankan elektronik. Perniagaan bergantung kepada transaksi digital. Hospital, lapangan terbang, bekalan elektrik dan telekomunikasi semakin bergantung kepada rangkaian komputer.
Tanpa disedari, kehidupan sebenar kita kini bergantung kepada keselamatan sebuah dunia yang tidak dapat disentuh secara fizikal.
Pada 2 November lalu, pasar raya di sekurang-kurangnya sembilan negara Eropah mengalami gangguan sistem penyejukan yang disyaki berpunca daripada serangan siber.
Penggodam dilaporkan memanipulasi sistem kawalan peti sejuk sehingga suhu meningkat kepada 50 darjah Celsius, menyebabkan makanan rosak dan terpaksa dibuang.
Serangan serupa di Perancis pada Oktober menjejaskan sehingga 700 pasar raya, mengakibatkan kebakaran dan kerugian makanan yang dianggarkan mencecah puluhan juta euro.
Bayangkan, tanpa sebutir peluru atau sebarang letupan, penjenayah boleh mengganggu rantaian bekalan makanan hanya dengan menceroboh sistem komputer.
Agensi Keselamatan Siber Kesatuan Eropah (ENISA) pula menganalisis 8,257 insiden sepanjang 2025. Sebanyak 51.3 peratus melibatkan serangan penafian perkhidmatan (DDoS), manakala hampir 40 peratus melibatkan akses tanpa kebenaran.
Lebih membimbangkan, 73 peratus organisasi yang menjadi sasaran merupakan entiti penting atau kritikal di bawah kerangka keselamatan Eropah.
Di Malaysia, perkembangan terbaharu sepatutnya menyedarkan rakyat bahawa ancaman ini bukan lagi sesuatu yang jauh daripada kehidupan mereka.
Pada 4 November lalu, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menaikkan Tahap Ancaman Keselamatan Siber Negara daripada rendah kepada sederhana.
Langkah berjaga-jaga itu dibuat susulan perkembangan keselamatan semasa dan bertujuan melindungi perkhidmatan penting negara.
Malah, sepanjang Oktober sahaja, Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara (NC4) mengeluarkan lapan amaran dan nasihat keselamatan berhubung kelemahan sistem yang melibatkan infrastruktur maklumat kritikal negara serta agensi kerajaan.
NACSA turut mengarahkan entiti infrastruktur kritikal melaksanakan sembilan langkah kesiapsiagaan, termasuk pemantauan 24 jam, pengemaskinian keselamatan sistem dan pelan kesinambungan perkhidmatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mendedahkan bahawa Malaysia berpotensi menjadi sasaran serangan siber berdasarkan maklumat risikan kerajaan, antaranya berkaitan kedudukan negara sebagai hab infrastruktur digital dan pusat data serta pendirian dalam isu antarabangsa.
Bayangkan sistem hospital lumpuh ketika pesakit memerlukan rawatan kecemasan, sistem perbankan tergendala atau bekalan elektrik terputus akibat pencerobohan digital.
Ancaman sebegini bukan lagi sekadar persoalan kehilangan wang atau data, tetapi berpotensi menjejaskan keselamatan manusia.
Dengan kemajuan AI ancaman siber sudah memasuki tahap membimbangkan, seorang pengaturcara komputer yang hebat boleh mengatur ribuan serangan siber secara serentak.
Kerajaan sahaja tidak mungkin dapat mempertahankan pencerobohan dan serangan. Dunia kini menuntut kesedaran individu menjaga keselamatan diri di duni siber.
Setiap pengguna telefon pintar, pemilik akaun bank dan pengendali perniagaan merupakan sebahagian daripada ekosistem keselamatan digital negara.
Kita perlu lebih berhati-hati terhadap pautan mencurigakan, penipuan AI, pemalsuan identiti dan pendedahan maklumat peribadi.
Ini bukan gimik politik untuk menakutkan rakyat.
Tulisan ini pertama kali tersiar dalam Sinar Ahad 11 November 2026.



