Oleh Zihan Zari
TROLAK – Menerusi Program TVET Inspirasi Bakti Komuniti, Politeknik Ungku Omar (PUO) telah menyantuni seramai 30 orang anak-anak istimewa Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sinar Bakti Felda Trolak, dekat sini baru-baru ini.
Program bertemakan ‘Menyemai Harapan, Membina Masa Depan’ diketuai oleh Pengarah Program, Mohammad Firdaus Ahmad bersama-sama 12 orang pelajar Diploma Kewangan Islam dan 9 orang pensyarah daripada Unit Hal Ehwal Pelajar (UHEP) Jabatan Perdagangan, PUO.
Kehadiran delegasi PUO disambut mesra oleh Pengurus PPDK Sinar Bakti, Salma Hashim dan Penyelia, Rosliah Ibrahim.
Penghuni PPDK Sinar Bakti merangkumi pelbagai kategori ketidakupayaan seperti masalah pendengaran, fizikal, Autism, ADHD, Down Syndrom serta masalah pertuturan dan pembelajaran telah diraikan dalam program ini.
Antara aktiviti utama, mendekorasi Kek Cawan bertujuan meningkatkan kemahiran motor halus pelatih menerusi teknik memicit piping dan menyusun hiasan, di samping menggalakkan interaksi sosial antara pelajar dan penghuni.
Selain itu, lawatan hasil kraf bagi para peserta berpeluang melihat sendiri ketelitian pelatih Orang Kurang Upaya (OKU) dalam penghasilan beg songket yang berkualiti tinggi.
Para peserta turut membuat lawatan ke Kilang Kerepek yang diusahakan sepenuhnya oleh PPDK Sinar Bakti sebagai bukti pemerkasaan ekonomi komuniti OKU .
Salah seorang peserta program, Iffah Rasyidah Mohd Zakir Husain, pelajar Diploma Kewangan Islam berkata, pengalaman ini memberikan impak yang sangat mendalam kepada dirinya dan rakan-rakan.
“Melalui lawatan ini, kami belajar untuk menjadi insan yang lebih prihatin, saling bekerja secara berpasukan dan mengamalkan kerjasama,”katanya.
“Kami sedar bahawa setiap individu mempunyai kelebihan tersendiri walaupun berdepan cabaran berbeza. Ia benar-benar menyentuh hati dan memberi erti kesyukuran yang mendalam atas nikmat kesempurnaan yang dikurniakan oleh Allah S.W.T,”katanya lagi.
Program ini merupakan sebahagian daripada usaha PUO untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir dalam bidang teknikal dan perdagangan, malah memiliki sahsiah tinggi serta empati yang mendalam terhadap komuniti luar bandar dan golongan istimewa.-SUARA.TV



