Komitmen Farm Fresh Berhad dalam memperkasa pembangunan generasi muda terus diperkasa apabila syarikat tenusu tempatan itu memperluaskan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang memfokuskan murid prasekolah.
Melangkaui peranan sebagai pembekal susu sekolah, Farm Fresh kini memposisikan dirinya sebagai rakan strategik kepada sektor pendidikan negara dengan pendekatan yang lebih menyeluruh menggabungkan elemen nutrisi, teknologi pembelajaran dan kelestarian.
Bagi Farm Fresh, pelaburan terbaik adalah pada peringkat paling awal pendidikan. Justeru, syarikat mengambil langkah proaktif menyalurkan 150,000 pek susu UHT Farm Fresh GROW kepada murid prasekolah di seluruh Pulau Pinang melalui inisiatif “Nutrisi Untukmu”.
Sumbangan bernilai kira-kira RM250,000 itu mencerminkan kesungguhan syarikat dalam menangani isu pemakanan dan malnutrisi kanak-kanak. Susu yang dibekalkan dirumus khas dengan protein berkualiti tinggi, DHA daripada alga, serat Inulin serta 22 vitamin dan mineral tambahan bagi menyokong tumbesaran dan perkembangan kognitif.
Menurut pihak pengurusan, pendekatan ini selari dengan falsafah syarikat yang percaya bahawa pembelajaran berkesan bermula daripada tubuh badan yang sihat.
Selain nutrisi, Farm Fresh turut memperkasa komitmennya terhadap pendidikan digital melalui Program Serahan Smartboard yang kini memasuki tahun kedua pelaksanaan.
Bagi tahun 2026, sebanyak 28 unit smartboard bernilai keseluruhan RM210,000 disumbangkan kepada prasekolah terpilih di 10 negeri. Daripada jumlah itu, 10 unit diperuntukkan kepada Pulau Pinang manakala selebihnya diagihkan ke negeri-negeri lain di bawah kontrak Program Susu Sekolah.
Sumbangan ini bukan sekadar penyerahan peralatan, malah merangkumi latihan teknikal dan bimbingan penggunaan kepada guru bagi memastikan teknologi dimanfaatkan secara optimum dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.
Inisiatif memberi tumpuan kepada prasekolah ini turut mendapat inspirasi daripada YB Menteri Pendidikan yang melihat keperluan membantu murid sejak peringkat awal persekolahan bagi memastikan mereka lebih bersedia melangkah ke Tahun 1.
Farm Fresh telah dilantik sebagai pembekal susu sekolah di bawah Program Susu Sekolah anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia bagi tempoh 2025 hingga 2029 melibatkan 10 negeri di Semenanjung Malaysia.
Namun, program susu percuma kepada murid prasekolah ini dilaksanakan di luar obligasi kontrak, sekali gus membuktikan bahawa agenda sosial syarikat melangkaui keperluan perniagaan semata-mata.
Selain Program Smartboard dan sumbangan susu, Farm Fresh turut melaksanakan pelbagai inisiatif lain seperti Kelas Tuisyen Bijak Mengira, Program Multidimensi Plus, Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia serta “Program School to Farm” yang membuka peluang murid mengenali industri tenusu secara lebih dekat.
Pelaksanaan program ini turut mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia serta jabatan pendidikan di peringkat negeri dan daerah.
Dalam aspek kelestarian, rakan strategik seperti Tetra Pak Malaysia menyokong melalui kempen kesedaran kitar semula kotak susu sekolah, menjadikan inisiatif ini lebih menyeluruh daripada sudut pendidikan nilai dan tanggungjawab alam sekitar.
Bagi Farm Fresh, kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui jumlah sumbangan, tetapi melalui impak jangka panjang terhadap perkembangan kanak-kanak. Dengan menggabungkan nutrisi seimbang dan pembelajaran interaktif sejak prasekolah, syarikat berhasrat membantu membentuk generasi yang lebih sihat, yakin dan bersedia menghadapi cabaran pendidikan formal.
Langkah ini sekali gus memperlihatkan evolusi peranan Farm Fresh daripada pengeluar produk tenusu tempatan kepada pemacu ekosistem sokongan pendidikan yang mampan di Malaysia.



