Dalam landskap industri hiburan yang semakin dipenuhi karya aksi dan seram, kemunculan telefilem romantik komedi Fantasi Fiksi di platform penstriman UTV hadir sebagai satu kenyataan berani. Bukan sekadar sebuah naskhah hiburan ringan, karya ini membawa misi lebih besar menghidupkan kembali kepercayaan bahawa genre romantik komedi masih relevan dan mempunyai kelompok peminat tersendiri.
UTV mempertaruhkan karya ini sebagai antara kandungan premium tempatan yang boleh distrim pada harga RM9.50, satu strategi yang dilihat mampu menarik penonton digital yang mahukan hiburan berkualiti dengan kos berpatutan. Lebih menarik, telefilem ini bukan sahaja menampilkan premis unik, malah menghimpunkan empat pemenang trofi Festival Filem Malaysia (FFM) dalam satu naskhah.
Berbeza daripada sudut promosi biasa yang menekankan kisah cinta semata-mata, Fantasi Fiksi sebenarnya membawa lapisan meta yang jarang diteroka dalam karya tempatan. Kisah Azalea, seorang penulis skrip yang sering dilabel menghasilkan cerita klise, boleh ditafsir sebagai refleksi terhadap industri kreatif itu sendiri.
Apabila Azalea “terperangkap” dalam dunia ciptaannya, naratif ini seolah-olah mengajak penonton merenung persoalan lebih besar sejauh mana kreativiti dibentuk oleh kehendak pasaran? Adakah karya seni harus tunduk kepada formula jualan semata-mata?

Pengarahnya, Tam Suhaimi, melihat telefilem ini sebagai karya ringan yang tetap mempunyai makna mendalam. Melalui pendekatan santai dan komedi, beliau menyelitkan tema pencarian identiti, keberanian mencabar takdir dan penerimaan terhadap kelemahan diri.
Satu lagi kekuatan utama Fantasi Fiksi ialah kehadiran empat pelakon wanita yang pernah merangkul trofi FFM. Antaranya ialah Sazzy Falak yang pernah memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM19 menerusi Gol & Gincu.
Turut membarisi naskhah ini ialah Liyana Jasmay yang memenangi Pelakon Wanita Terbaik FFM22 menerusi Papadom, selain Amy Mastura yang diiktiraf Pelakon Wanita Terbaik FFM14 melalui Puteri Impian, serta Sharifah Amani yang memenangi Pelakon Wanita Terbaik FFM19 menerusi Gubra.
Gabungan pelakon berpengalaman ini bukan sahaja memberikan kredibiliti kepada telefilem tersebut, malah menjadi simbol penghormatan terhadap legasi romantik komedi tempatan yang pernah mencipta fenomena tersendiri
Jika disorot semula, genre romantik komedi pernah menguasai pawagam tempatan dengan karya seperti Pisau Cukur dan Istanbul Aku Datang. Dialog serta babaknya masih menjadi rujukan dan digunakan sebagai “sound bait” di media sosial sehingga hari ini.
Namun perubahan citarasa pasaran menyaksikan genre ini semakin jarang diterbitkan. Penerbit lebih cenderung memilih filem aksi atau seram yang dianggap lebih menjamin pulangan. Dalam konteks ini, langkah UTV menerbitkan Fantasi Fiksi boleh dilihat sebagai usaha menyeimbangkan semula landskap kandungan tempatan.

Di bawah kepimpinan Penerbit dan Presiden UTV, Datuk Adzliana Hasan, platform ini dilihat agresif memperkukuh jenama sebagai hab kandungan tempatan berkualiti. Pelan untuk menembusi pasaran Indonesia dalam masa terdekat menunjukkan visi lebih besar membawa karya Malaysia ke pentas serantau.
Dengan harga akses yang kompetitif dan fokus terhadap bakat tempatan, UTV sedang membina identiti sebagai platform yang memberi ruang kepada genre yang mungkin kurang diberi perhatian oleh penerbit arus perdana.
Apa yang membezakan Fantasi Fiksi ialah keberaniannya mempersoalkan takdir naratif. Azalea bukan sekadar mahu membuatkan Irfan jatuh cinta, tetapi bergelut dengan hakikat bahawa dia ditulis sebagai antagonis dalam ceritanya sendiri. Konflik ini menjadikan telefilem tersebut lebih daripada sekadar kisah romantik, sebaliknya satu alegori tentang mengubah persepsi dan menentukan masa depan sendiri.
Dalam era di mana algoritma dan trend sering menentukan kandungan, Fantasi Fiksi membawa mesej bahawa kreativiti masih mempunyai ruang untuk berkembang asalkan ada keberanian untuk mencuba.
Dengan gabungan pelakon berstatus pemenang festival, premis yang kreatif dan sokongan platform digital yang semakin berkembang, telefilem ini berpotensi menjadi pemangkin kebangkitan semula romantik komedi tempatan.
UTV jelas tidak sekadar menayangkan sebuah telefilem baharu. Mereka sedang menguji sejauh mana penonton masih merindui genre yang pernah membuatkan mereka ketawa, jatuh cinta dan mengingati dialognya bertahun-tahun lamanya.



