Dana politik bukan untuk bayar denda mahkamah, segerakan Akta Pendanaan Politik – MP Gopeng

KUALA LUMPUR – Kontroversi kutipan dana awam melalui Tabung Solidariti Datuk Seri Najib Razak bagi membayar denda dalam kes SRC International merupakan satu peringatan bahawa kerangka kawal selia sedia ada masih mempunyai ruang untuk diperkukuh.

Walaupun tindakan tersebut belum tentu menyalahi undang-undang sedia ada, hal ini tidak bermakna sistem semasa sudah mencukupi.

Justeru, Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing mendesak kerajaan supaya mempercepatkan proses penggubalan dan membentangkan Akta Pendanaan Politik di Parlimen dengan segera termasuk memperincikan sumber sumbangan politik, mekanisme pengesanan aliran dana serta peraturan penggunaannya bagi memastikan kontroversi seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan.

“Penubuhan Tabung Solidariti Najib Razak oleh Umno untuk membayar denda sebanyak RM50 juta yang dikenakan terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu sekali lagi menonjolkan kelemahan dalam kerangka kawal selia pendanaaan politik di Malaysia.

“Kontroversi ini membangkitkan satu persoalan penting yang perlu dijawab dalam Parlimen: Apabila seseorang ahli politik disabitkan kesalahan jenayah dan diperintahkan untuk membayar denda, adakah sesebuah parti politik boleh mengutip derma awam bagi menanggung liabiliti peribadi tersebut?

“Saya berpendirian bahawa tanggungjawab jenayah individu mesti dipikul oleh individu itu sendiri.

“Sumbangan politik bertujuan menyokong aktiviti politik dan fungsi sesebuah parti, bukannya menjadi saluran untuk seseorang ahli politik menggerakkan dana awam bagi melunaskan liabiliti peribadinya apabila berdepan dengan hukuman mahkamah,” tegas Kar Hing dalam kenyataan media pada Ahad.

Sehubungan itu beliau yang juga Ketua Cabang PKR Gopeng itu mencadangkan, Akta Pendanaan Politik seharusnya memperjelaskan bahawa sumbangan politik adalah untuk menyokong aktiviti politik dan fungsi sah parti, dan menghalang ahli politik menggunakan dana awam untuk memindahkan tanggungjawab peribadi mereka kepada penyumbang.

Walau setinggi mana pun sokongan politik yang diterima seseorang, denda jenayah dan liabiliti peribadi lain yang dijatuhkan oleh mahkamah tidak seharusnya ditanggung melalui kutipan dana awam oleh parti politik.

“Saya ingin menegaskan bahawa akta ini harus dibentangkan dalam Parlimen wajib menetapkan dengan jelas tujuan penggunaan dana politik dan dihadkan kepada aktiviti politik dan kepentingan awam yang sah, termasuk -pentadbiran dan pengurusan organisasi parti politik; pilihan raya dan aktiviti kempen pilihan raya; penyelidikan dasar, pendidikan politik dan advokasi dasar awam dan khidmat masyarakat, aktiviti kebajikan dan bantuan kepada golongan rentan.

“Undang-undang baharu ini juga perlu melarang parti politik, ahli politik dan organisasi yang mempunyai kaitan dengan mereka daripada menggunakan sumbangan politik, sama ada secara langsung atau tidak langsung, untuk membayar hutang peribadi, denda jenayah individu atau apa-apa liabiliti kewangan peribadi yang timbul daripada keputusan mahkamah.

“Selain mewajibkan pendedahan identiti penyumbang dan menetapkan had sumbangan tanpa identiti, parti politik juga mesti diwajibkan mendedahkan perbelanjaan secara berkala. Tiada parti politik dibenarkan menerima sumbangan besar tanpa sumber asal yang disahkan.

“Undang-undang baharu ini juga perlu menghalang sebarang usaha mengelakkan sekatan penggunaan dana politik melalui yayasan, organisasi berkaitan atau pihak perantara yang lain,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat