Sedangkan anak haram sudah ditukar istilah anak luar nikah, kenapa masih guna ‘kuil haram’? – Waytha Moorthy tanya Anwar

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) PP Waytha Moorthy tidak menolak data yang membuktikan kewujudan kuil-kuil Hindu yang dibina tanpa izin namun tidak sewajarnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melabelnya sebagai dengan istilah kuil haram.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menegaskan perkataaan ‘haram’ sangat sensitif bahkan katanya, tiada seorang pun Perdana Menteri dalam sejarah Malaysia yang pernah melabelkan kuil Hindu yang terlibat dalam isu sebagai haram.

“Mengapa istilah kuil haram digunakan secara meluas untuk merujuk kepada kuil-kuil Hindu sejak 10 bulan kebelakangan ini? Mana-mana individu akan berasa marah jika perkataan haram digunakan terhadap mereka.

“Ini adalah suatu perkataan yang sangat sensitif. Tetapi mengapa sekarang? Sedangkan, isu kuil-kuil ini telah lama wujud.

“Pada bulan Mac tahun lalu, Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang berusia 130 tahun menjadi tumpuan di Jalan Masjid India. Isu ini bermula apabila Perdana Menteri Anwar menyifatkan kuil tersebut sebagai kuil haram dan menyatakan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan apa-apa yang bercanggah dengan kedaulatan undang-undang.

“Sebagai Perdana Menteri adalah tidak bertanggungjawab untuk menggunakan istilah yang menghina serta memberi gambaran palsu bahawa kuil-kuil ini bertentangan dengan kedaulatan undang-undang.

“Tiada seorang pun Perdana Menteri dalam sejarah Malaysia yang pernah melabelkan kuil Hindu yang terlibat dalam isu sebagai haram. Anwar Ibrahim adalah pemimpin pertama yang berbuat demikian,” kata Waytha dalam video yang dimuat naik di Facebook beliau pada Selasa.

Tindakan itu mengingatkan peristiwa 30 tahun lalu, ujarnya dalam bahasa Melayu, seorang anak yang lahir di luar perkahwinan dipanggil anak haram.

“Kini selepas 30 tahun, kita lebih sensitif dengan menggunakan istilah anak luar nikah.

“Manakala, 20 tahun lalu, pendatang tanpa dokumen dipanggil sebagai pendatang haram. Kini kita menggunakan istilah seperti pendatang tanpa izin.

“Oleh itu, seluruh negara, (termasuk) golongan akademik dan institusi kini menggunakan istilah yang lebih sensitif atau refined. Khususnya dalam isu-isu yang melibatkan manusia.

“Mengapa tidak digunakan perkataan yang lebih sesuai terhadap kuil-kuil sekiranya ia dibina bertentangan dengan undang-undang? Mengapa menggunakan istilah kuil haram?

“Ini tidak lain hanyalah satu agenda untuk menghina dan menjatuhkan maruah masyarakat Hindu,” dakwa beliau.

Oleh itu, Waytha berkata beliau berharap rakyat Malaysia memahami bahawa disebabkan implikasi undang-undang dan sosial yang kompleks, isu kuil-kuil ini mesti ditangani dengan penuh berhati-hati serta mengambil kira semua undang-undang dan fakta sejarah.

“Memang ada segelintir pihak yang membina kuil tanpa mendapatkan izin. Saya setuju perkara sebegini tidak harus dibenarkan.

“Tetapi janganlah kita terperangkap dalam agenda tangan-tangan ghaib yang ingin mencetuskan perasaan kebencian antara kaum Melayu dan kaum India,” seru Waytha.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat