KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menggantung tugas Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan serta-merta supaya satu siasatan menyeluruh boleh dibuat berhubung tuduhan salah laku terkait pemilikan saham melebihi RM100,000.
Bekas Timbalan Presiden itu turut menggesa Anwar untuk menyemak keseluruhan pemilikan harta Azam untuk memastikan bagaimana beliau boleh mempunyai wang sedemikian rupa.
Selain itu Rafizi turut meminta Anwar untuk memastikan sama ada Azam terlibat secara langsung atau tidak langsung, di dalam apa-apa urusniaga melibatkan MMAG Berhad dan NexG Berhad terutamanya yang melibatkan perolehan awam.
“Hari ini, media antarabangsa Bloomberg telah menyiarkan satu laporan mengenai pemilikan saham oleh Ketua Suruhanjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang secara terang-terangan melanggar
peraturan kerajaan berhubung pemilikan saham oleh seorang pegawai tinggi penjawat awam. Berita tersebut turut dilaporkan oleh media-media lain.
“Memandangkan ia berkait rapat dengan kewibawaan SPRM sebagai institusi yang diberi amanah mencegah rasuah, saya percaya kontroversi ini akan mendapat perhatian rakyat dan masyarakat antarabangsa.
“Laporan Bloomberg itu mendedahkan satu pelanggaran, iaitu pemilikan 17.7 juta saham di dalam sebuah syarikat senaraian awam Velocity Capital Partners Berhad. Berdasarkan harga hari
ini, 17.7 juta saham ini dianggarkan bernilai RM800,000. Ini telah melanggar peraturan-peraturan yang mengikat penjawat awam, terutamanya yang terkandung di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2002, yang secara khusus menyatakan bahawa seorang penjawat awam tidak boleh memiliki saham bernilai lebih RM100,000 dalam mana-mana syarikat,” kata bekas Menteri Ekonomi itu dalam kenyataan pada Selasa.
Malah menurut Rafizi, kontroversi melibatkan pemilikan saham Velocity Capital Partners Berhad ini bukan melibatkan pelanggaran peraturan penjawat awam semata-mata.
Ujar beliau, satu perkara yang mewajarkan satu siasatan menyeluruh diadakan segera ialah urusniaga- urusniaga yang telah beberapa kali mengundang persoalan yang melibatkan beberapa syarikat kerana urusniaga-urusniaga ini dituduh melibatkan bekas Setiausaha Politik kepada Dat Seri Anwar Ibrahim, iaitu Datuk Farhash Wafa Salvador.
Dakwa Rafizi, pada 29 Mac 2025, rekod urusniaga saham menunjukkan Farhash menjadi pemegang saham terbesar sebuah syarikat senaraian awam MMAG Holdings Berhad, dalam satu urusniaga melibatkan pembelian 462 juta saham MMAG yang dilaporkan bernilai RM184.8 juta.
“Transaksi ini berlaku sehari selepas NexG Berhad (sebelumnya dikenali sebagai Datasonic Group Berhad) muncul sebagai pemegang saham utama di dalam MMAG Holdings Berhad, di dalam
urusniaga membabitkan bayaran RM70 juta untuk memperolehi 173 juta saham atau 7.58 peratus pegangan di dalam MMAG Holdings Berhad. Ini menjadikan NexG Berhad dan Farhash pemegang-pemegang saham utama di dalam MMAG Berhad, sekali gus mewujudkan pertalian perniagaan tidak langsung di antara NexG Berhad dan Farhash melalui MMAG Berhad.
“Di antara Ogos 2025 dan Oktober 2025, NexG Berhad memenangi tender kerajaan berjumlah lebih RM2.5 bilion dalam tempoh dua bulan sahaja, iaitu – Kontrak 6 tahun berjumlah RM1.73 bilion dari Kementerian Dalam Negeri untuk membekalkan pasport dari 1 Jun 2026 hingga 31 Mei 2032; tiga lagi kontrak awam termasuk kontrak membekalkan kad pengenalan berjumlah
RM732.72 juta.
“Mnakala, pada 31 Disember 2025, Farhash menjual keseluruhan sahamnya di dalam MMAG Berhad. Laporan media menyatakan bahawa keseluruhan blok 462 juta saham itu sebenarnya dicagarkan kepada Velocity Capital Partner Berhad.
“Saham-saham Farhash di dalam MMAG Berhad itu dijual kepada sebuah syarikat yang dimiliki oleh seorang yang berumur 25 tahun bernama Cheah Min Lly. Selepas saham-saham itu bertukar
tangan, ia kekal dicagarkan kepada Velocity Capital Partner Berhad. Ini bermakna, Velocity Capital Partner Berhad adalah syarikat peminjam wang yang terbabit dengan urusniaga yang melibatkan Farhash dan berhubung kait dengan NexG Berhad, yang mendapat tender lebih RM2.5 bilion dari kerajaan,” dakwa Rafizi lagi.
Menurut beliau, pendedahan Bloomberg hari ini menunjukkan bahawa Azam adalah seorang pemegang saham utama Velocity Capital Partner Berhad, yang meletakkan beliau di dalam
jaringan urusniaga (melalui Velocity Capital Partner Berhad) yang melibatkan Farhash dan NexG Berhad (syarikat yang menerima kontrak berbilion ringgit dari kerajaan).
“Maka, beberapa perkara berikut wajar diteliti oleh rakyat iaitu bagaimana seorang penjawat awam berpangkat kanan mempunyai sedemikian banyak wang untuk menjadi pemegang saham yang signifikan di dalam sebuah syarikat senaraian awam?
“Bagaimana beliau boleh kekal menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM sedangkan beliau telah melanggar peraturan penjawat awam bersabit pemilikan saham, yang berhubung dengan soal integriti seorang penjawat awam, apatah lagi seorang Ketua Pesuruhjaya SPRM?
“Apakah kepentingan beliau di dalam urusniaga yang melibatkan syarikat-syarikat yang telah mengundang spekulasi sebelum ini (MMAG Holdings Berhad dan NexG Berhad) kerana NexG Berhad berjaya mendapat tender sebesar itu dari kerajaan? soal Rafizi.
Kata Rafizi, beliau menunggu maklum balas Anwar sebelum mengeluarkan kenyataan seterusnya.



