KUALA LUMPUR, 5 Februari 2026 – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menegaskan komitmen kerajaan terhadap agenda perubahan iklim, kelestarian alam sekitar serta pengurusan sumber strategik negara kekal menjadi keutamaan, meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global dan tekanan ekonomi antarabangsa.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih ke atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Dewan Rakyat bagi pihak Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), hari ini.
Arthur berkata usaha menangani perubahan iklim tidak boleh dilihat sebagai agenda sampingan, sebaliknya telah diintegrasikan secara berperingkat dalam dasar pembangunan negara sejak beberapa Rancangan Malaysia lalu dan kini diperkukuh menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).
Menurut beliau, pendekatan seperti Sustainable Consumption and Production (SCP) serta Circular Economy diperkenalkan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara tidak terus bergantung kepada eksploitasi sumber asli secara berlebihan, di samping mengurangkan pelepasan gas rumah kaca dan pencemaran alam sekitar.
Katanya, pelaksanaan dasar tersebut turut disokong oleh pelbagai dasar sektoral termasuk Dasar Perubahan Iklim Negara, Pelan Induk Teknologi Hijau, Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Negara (NLCCM) serta Low Carbon Cities Framework yang memberi penekanan kepada pelaksanaan di peringkat tempatan melibatkan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, industri, komuniti dan perusahaan kecil serta sederhana.
*Mobiliti rendah karbon dan pembangunan EV tempatan*
Dalam sektor mobiliti, Arthur memaklumkan kerajaan melaksanakan Low Carbon Mobility Blueprint bagi mempercepat peralihan kepada pengangkutan awam berkapasiti tinggi serta merangsang pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) domestik.
Beliau berkata penglibatan pengeluar tempatan dalam pembangunan EV bukan sahaja menyokong sasaran pelepasan karbon rendah, malah membina rantaian nilai industri hijau negara dan mengurangkan kebergantungan kepada teknologi import dalam jangka panjang.
*Pembiayaan iklim: Malaysia tidak bergantung kepada satu sumber*
Menjawab persoalan Ahli Parlimen berhubung implikasi penarikan diri Amerika Syarikat daripada Perjanjian Paris, Arthur menegaskan Malaysia tidak bergantung sepenuhnya kepada Dana Iklim Hijau (Green Climate Fund, GCF).
Sebaliknya, katanya, Malaysia terus memanfaatkan pelbagai mekanisme pembiayaan antarabangsa termasuk Global Environment Facility (GEF) dan Adaptation Fund, dengan prestasi penggunaan dana negara disifatkan berada pada tahap yang sangat baik.
Beliau memaklumkan Malaysia berada di landasan untuk mencapai penggunaan penuh peruntukan GEF Kitaran ke-8, sekali gus mengukuhkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap keupayaan tadbir urus negara dan kesiapsiagaan Malaysia untuk mengakses pembiayaan bagi kitaran seterusnya.
Dalam isu unsur nadir bumi (REE), Arthur menolak dakwaan bahawa Malaysia terikat untuk mengeksport REE hanya kepada Amerika Syarikat melalui mana-mana perjanjian perdagangan dua hala.
Menurut beliau, Perjanjian Perdagangan Timbal Balas antara Malaysia dan Amerika Syarikat tidak mengandungi sebarang peruntukan yang mewujudkan komitmen eksklusif, kewajipan pembekalan atau keutamaan pasaran yang mengikat Malaysia kepada mana-mana negara.
“Kerajaan ingin menegaskan bahawa REE tidak pernah ditawarkan sebagai konsesi atau balasan dalam mana-mana rundingan perdagangan,” katanya.
Arthur turut menegaskan larangan eksport mentah REE kekal sebagai dasar kerajaan bagi memastikan pembangunan industri hiliran, penyelidikan dan nilai tambah dilaksanakan dalam negara secara mampan dan bertanggungjawab.
*Tindakan penguatkuasaan kes pencemaran Sungai Perak*
Menyentuh isu pencemaran Sungai Perak di Gerik, Arthur berkata kementerian memandang serius insiden tersebut dan telah mengarahkan penggantungan sementara operasi beberapa tapak perlombongan bagi membolehkan langkah pembetulan dilaksanakan.
Beliau berkata siasatan bersepadu melibatkan pelbagai agensi teknikal Persekutuan dan Negeri telah dijalankan, dengan Perintah Berhenti Kerja dikeluarkan terhadap sebuah syarikat selepas pelanggaran syarat Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dikesan.
Menurutnya, perintah itu hanya ditarik balik selepas semua syarat dipatuhi sepenuhnya, dan pemantauan serta penguatkuasaan akan diteruskan dengan tindakan tegas diambil sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan terhadap undang-undang alam sekitar.
Dalam sektor perhutanan dan biodiversiti, Arthur menegaskan urusan tanah dan hutan berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Persekutuan menyediakan sokongan teknikal dan insentif kewangan seperti Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation bagi menggalakkan kerajaan negeri melindungi serta memperluaskan kawasan hutan simpan dan kawasan perlindungan.
Beliau turut memaklumkan usaha penubuhan Pusat Biodiversiti Malaysia sebagai pusat kecemerlangan bagi memperkukuh peranan negara sebagai peneraju dalam pengurusan biodiversiti di peringkat antarabangsa.
Arthur menegaskan kerajaan komited memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi, keselamatan sumber asli dan kelestarian alam sekitar terus dipelihara demi kesejahteraan rakyat serta generasi masa hadapan.-SuaraTV



