KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh memuji kelajuan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadhlun Mak Ujud atas kelajuan beliau melaksanakan perubahan.
Menurut Hannah, Fadhlun bukan jenis orang yang hanya bercakap tetapi beliau terus buat kerja.
“Saya bersyukur dapat Datuk Bandar yang kuat dari segi kompetensi. Untuk baki penggal ini, saya mahu terus bergerak bersama beliau untuk beri yang terbaik kepada warga Kuala Lumpur.
“Setakat sebulan setengah saya memegang portfolio ini, saya sangat berpuas hati dengan kelajuan beliau melaksanakan perubahan. Bukan sekadar bercakap tetapi terus buat kerja. Beliau bertindak sendiri dengan pantas dan efisien.
“Dilatih sebagai Perancang Bandar, beliau faham betapa seriusnya cabaran bandar raya ini. Beliau turun padang, dengar sendiri suara rakyat, dan sentiasa berpijak pada realiti sebenar di lapangan.
“Saya akui saya bertuah kerana bukan semua Datuk Bandar ada kualiti seperti ini,” puji Hannah.
Menurut Ahli Parlimen Segambut itu lagi, gandingan kami dibina atas kepercayaan dan komitmen kepada tadbir urus yang baik. Sebab itu pengiktirafan ini memang sangat layak untuk beliau terima.
“Kuala Lumpur perlukan kepimpinan yang faham masalah sebenar dan berani buat perubahan.
“Saya percaya kita berada di landasan yang betul,” katanya.
Dalam pada itu, Hannah mengucapkan tahniah kepada Fadhlun atas pengurniaan pingat kebesaran Darjah Kebesaran Setia Mahkota Wilayah (S.M.W.) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2026.



