Arthur Kurup nafi REE digadai kepada AS, kata tiada komitmen eksklusif

KUALA LUMPUR, 5 Februari 2026 – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, menafikan dakwaan bahawa Malaysia terikat atau menggadaikan unsur nadir bumi (REE) kepada Amerika Syarikat melalui mana-mana perjanjian perdagangan dua hala.

Penegasan itu dibuat bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Pendang (PN-PAS), Datuk Awang Hashim, yang meminta penjelasan sama ada eksport REE Malaysia kini terhad kepada Amerika Syarikat sahaja.

Arthur berkata, Perjanjian Perdagangan Timbal Balas antara Malaysia dan Amerika Syarikat tidak mengandungi sebarang peruntukan yang mewujudkan komitmen eksklusif, kewajipan pembekalan atau keutamaan pasaran bagi eksport REE kepada mana-mana negara.

“Kerajaan ingin menegaskan bahawa REE tidak pernah ditawarkan sebagai konsesi atau balasan dalam mana-mana rundingan perdagangan atau tarif,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih ke atas Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa dasar semasa kerajaan masih mengekalkan larangan eksport mentah REE bagi memastikan sumber strategik negara tidak dieksploitasi tanpa nilai tambah.

Menurut Arthur, pendekatan itu bertujuan menggalakkan pembangunan keseluruhan rantaian nilai industri dalam negara, termasuk pemprosesan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta pengeluaran produk hiliran, selaras dengan kepentingan strategik jangka panjang negara.

Isu REE menjadi antara topik paling sensitif dalam perbahasan Parlimen susulan kebimbangan sebahagian Ahli Parlimen mengenai kedaulatan sumber strategik negara serta kemungkinan tekanan geopolitik dalam rundingan perdagangan antarabangsa.

Arthur berkata, dasar REE digubal dengan mengambil kira pembahagian bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, selain keperluan memastikan pembangunan industri tersebut dilaksanakan secara mampan dan bertanggungjawab.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat