CYBERJAYA,— Murray Hunter dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memasuki satu Perintah Persetujuan melalui prosiding dalam talian di Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam hari ini, di hadapan Hakim Noor Hayati Haji Mat.
Perintah tersebut direkodkan dalam satu tindakan saman fitnah yang difailkan oleh MCMC terhadap Murray Hunter, susulan penerbitan kenyataan berunsur fitnah oleh penulis itu terhadap MCMC dan pihak-pihak berkaitan melalui platform dalam taliannya.
Menurut kenyataan MCMC, Perintah Persetujuan berkenaan turut merupakan sebahagian daripada Perjanjian Penyelesaian bertarikh 12 Januari 2026 yang dimeterai oleh kedua-dua pihak, termasuk berkaitan prosiding jenayah terhadap Murray Hunter di Thailand, yang juga berpunca daripada penerbitan kandungan berunsur fitnah terhadap MCMC melalui platform dalam taliannya.
Perintah Persetujuan tersebut dimasuki susulan permohonan maaf terbuka oleh Murray Hunter serta penurunan kandungan berunsur fitnah berkenaan daripada platform dalam taliannya. Murray Hunter turut mengesahkan aku janjinya dalam perintah tersebut untuk tidak mengulangi penerbitan kenyataan fitnah atau sebarang kandungan yang serupa berkaitan MCMC dan pihak-pihak berkaitan.
MCMC menegaskan bahawa pihaknya memandang serius sebarang kenyataan palsu dan fitnah, dan akan terus mengambil langkah yang sewajarnya bagi melindungi integriti suruhanjaya itu serta memastikan akauntabiliti terhadap penerbitan yang melulu dan tidak bertanggungjawab.
Dalam prosiding dalam talian hari ini, MCMC diwakili oleh Datuk Selva Mookiah dan Nurshafiqa Balqish binti Jaffri, manakala Murray Hunter hadir mewakili dirinya sendiri.
Pertikaian antara Murray Hunter dan MCMC berpunca daripada siri artikel dan kenyataan yang diterbitkan sejak April 2024 di beberapa platform dalam talian, yang mengandungi dakwaan serius termasuk tuduhan penyalahgunaan kuasa, perlindungan kepentingan kroni, manipulasi penguatkuasaan serta gambaran bahawa MCMC bertindak di luar batas undang-undang.
Kandungan tersebut disebarkan secara berterusan dan meluas, sehingga menjejaskan reputasi institusi pengawal selia negara serta mencetuskan persepsi awam yang mengelirukan terhadap peranan MCMC.
Susulan itu, MCMC memfailkan tindakan sivil fitnah di Mahkamah Tinggi Malaya dan mengambil langkah undang-undang lanjut yang membawa kepada prosiding jenayah di Thailand memandangkan penerbitan berkenaan dibuat ketika Hunter berada di luar Malaysia.
Permohonan maaf terbuka dan penarikan balik sepenuhnya semua kandungan berkenaan pada Januari 2026, diikuti Perintah Persetujuan yang direkodkan hari ini, menutup secara rasmi satu episod pertikaian undang-undang berprofil tinggi yang menjadi peringatan bahawa kebebasan bersuara tidak meliputi penyebaran kenyataan palsu dan fitnah terhadap institusi awam. -SuaraTV



