AGC klasifikasi NFA kes fitnah kaitkan Ismail Sabri dengan serangan terhadap anak Rafizi

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan kes fitnah mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan serangan terhadap Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli dikelaskan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima satu laporan polis bersabit Dang Wangi Repot 23401/2025 bertarikh 18 Ogos 2025.

“PDRM membuka kertas siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kertas siasatan dirujuk kepada AGC pada 23 Disember 2025 dan pihak AGC memutuskan untuk mengklasifikasikan kes ini sebagai ‘No Further Action’ (NFA),” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Rafizi yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan status siasatan pihak berkuasa (PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)) terhadap satu laporan dibuat Setiausaha Akhbar Ismail Sabri pada 18 Ogos 2025 berhubung fitnah disiarkan di satu laman Facebook mengaitkan Ahli Parlimen Bera dengan serangan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan.

Saifuddin Nasution turut menjelaskan keputusan itu dibuat berdasarkan dapatan laporan analisis profil oleh SKMM yang tidak dapat mengenal pasti pemilik akaun berkenaan serta tidak dapat mengaitkan mana-mana individu secara konklusif dengan akaun Facebook yang disiasat, menurut BH pada Khamis.

Anak lelaki Rafizi yang berusia 12 tahun diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya kira-kira jam 2 petang pada 13 Ogos tahun lalu dengan rakaman kamera litar tertutup menunjukkan dua lelaki mengekori kereta isterinya menggunakan sebuah motosikal sebelum kejadian.

Beberapa hari kemudian, Ismail Sabri membuat laporan polis dan kepada SKMM terhadap sebuah laman Facebook yang memuat naik dua artikel palsu serta fitnah mengaitkannya dengan serangan itu.

Rafizi turut menafikan dakwaan mengaitkan Ismail Sabri dengan serangan terhadap anaknya.

Pada 30 Januari lalu, Rafizi berkata beliau bersedia menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Saifuddin Nasution untuk meminta siasatan kes serangan ke atas anaknya dihentikan sekiranya tiada perkembangan positif.

Rafizi dilaporkan berkata beliau masih mempercayai proses siasatan sedang berjalan namun ia sudah melalui tempoh panjang sejak Ogos tahun lalu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat