Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengumumkan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Hj. Malek Razak Sulaiman dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24, berkuat kuasa mulai 1 Februari 2026.
Menterinya, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pelantikan ini dibuat selaras dengan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri ke-633 (Khas) yang bersidang pada 29 Januari 2026, dan seterusnya telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 30 Januari 2026, ”katanya dalam kenyataan.
Malek Razak memiliki kelulusan Diploma Strategik dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Master of Arts in Defence dari King’s College London serta Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) dari UKM.
Perkhidmatan beliau bermula pada tahun 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom, dan telah ditauliahkan pada 11 Disember 1987 dengan pangkat Leftenan Muda.
Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, Malek Razak telah mempamerkan kebolehan, keupayaan, kecemerlangan serta kepimpinan yang tinggi.
Beliau memulakan kerjaya sebagai Ketua Platun di Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan kemudiannya berkhidmat di pelbagai pasukan serta memegang pelbagai jawatan penting di peringkat pemerintah dan staf.
Dalam kenyataan yang sama, Mohamed Khaled berkata berdasarkan pengalaman luas serta kredibiliti yang dimiliki Malek Razak, kementerian yakin pelantikan ini akan memperkukuh kepimpinan dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mendepani cabaran pertahanan negara, di samping memulihkan dan memperkukuhkan wibawa ATM melalui kepimpinan yang berteraskan integriti dan profesionalisme serta mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.- SUARA.TV



