KUALA LUMPUR, – Kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin mengenai penerimaan semula tiga ADUN Perlis yang digugurkan keahlian parti sebelum ini didapati telah dipadam kira-kira sejam selepas ia dimuat naik di media sosial.
Kenyataan bersama gambar beliau dan Presiden PAS, Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang itu merujuk kepada mesyuarat Majlis Syura ‘Ulamak kali kedua bagi sesi 2026/2030 yang berlangsung pada 27 Januari lalu di Pejabat Agung PAS, Kuala Lumpur.
Dalam kenyataan tersebut, Hashim memaklumkan Majlis Syura menerima rayuan Saad Seman (ADUN Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) yang dihentikan keahlian PAS pada 24 Disember 2025.
Namun, perkembangan itu kemudiannya mencetuskan kekeliruan apabila Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad Yahaya yang juga anggota Majlis Syura ‘Ulamak tampil menafikan bahawa badan itu membuat keputusan menerima rayuan ketiga-tiga ADUN berkenaan.
Menurut Ahmad, Majlis Syura tidak membuat keputusan atas nama rayuan kerana perkara tersebut bukan dalam bidang kuasa majlis berkenaan.
“Keputusan Majlis Syura ‘Ulamak PAS berkaitan rayuan tiga mantan ADUN Perlis ialah, MSU menolak daripada membuat keputusan atas nama rayuan, sebab ianya bukan dalam bidang kuasa MSU,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebaliknya, Ahmad menjelaskan bahawa Majlis Syura hanya menerima borang permohonan sebagai ahli baharu PAS daripada ketiga-tiga bekas ADUN tersebut dan menyerahkannya kepada Setiausaha Agung PAS untuk pertimbangan PAS Pusat.
“MSU menerima borang permohonan ahli baharu PAS daripada tiga mantan ADUN tersebut dan diserah kepada Setiausaha Agung PAS untuk pertimbangan PAS Pusat,” katanya.
Percanggahan terbuka itu hadir selepas kenyataan asal Hashim dipadam, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kedudukan sebenar keputusan parti serta proses penyelesaian kemelut dalaman PAS di Perlis.
Majlis Syura ‘Ulamak PAS merupakan badan tertinggi parti yang dipengerusikan oleh Mursyidul Am, dengan Presiden PAS Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang serta Timbalan Presiden Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man antara anggota utama majlis tersebut.
Isu melibatkan tiga bekas ADUN Perlis itu sebelum ini mencetuskan ketegangan dalaman yang memberi kesan terhadap kestabilan politik negeri serta blok kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perlis.



