KULIM: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan beliau tidak akan mengeluarkan sebarang arahan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengklasifikasikan kes melibatkan anak lelaki Rafizi Ramli sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Menurut beliau, sebarang keputusan berhubung status kes berkenaan tertakluk sepenuhnya kepada dapatan siasatan serta petunjuk yang diperoleh pihak polis.
Saifuddin berkata, menjadi tanggungjawab polis untuk menjalankan siasatan sebaik laporan dibuat, manakala perkembangan kes bergantung kepada kewujudan bukti atau maklumat baharu.
Beliau menambah, campur tangan pihak kementerian dalam menentukan status siasatan boleh dianggap mengganggu proses siasatan sekiranya pihak berkuasa menemui punca atau petunjuk baharu.
“Jadi, sama ada pengkelasan kes itu akan dimasukkan sebagai NFA atau sebaliknya pada peringkat ini, saya serahkan sepenuhnya kepada profesionalisme pasukan polis,” katanya kepada wartawan.
Kes berkenaan melibatkan anak lelaki Rafizi yang berusia 12 tahun, yang dilaporkan diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada Ogos lalu. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua individu mengekori kenderaan isteri Rafizi dengan menunggang motosikal.
Mangsa dilaporkan diseret dan ditikam menggunakan jarum suntikan sebelum dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan, manakala suspek melarikan diri dari lokasi kejadian.
Sebelum ini, Rafizi dilaporkan menyatakan polis tidak perlu meneruskan siasatan sekiranya tiada petunjuk baharu diperoleh.
Beliau juga memaklumkan akan mengutus surat kepada Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri serta pihak polis bagi memohon agar kes tersebut diklasifikasikan sebagai NFA.
Pada Rabu, Saifuddin ketika menjawab di Dewan Rakyat berkata beliau tidak dapat mendedahkan butiran lanjut siasatan kepada umum, namun mengesahkan maklumat berkaitan telah dikongsi dengan Rafizi dalam satu pertemuan bulan lalu.



