KUALA LUMPUR -Berdasarkan Perlembagaan Perikatan Nasional (PN) peletakan jawatan Pengerusi PN belum berkuat kuasa dan hanya berkuat kuasa selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN meluluskan peletakan jawatan itu.
Hal ini bermaksud, Pengerusi PN masih ada dan Pengerusinya masih Tan Sri Muhyiddin Yassin,” kata Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
“Perkara yang disangkakan khabar angin dan ‘fake news’ bukan khabar angin, tetapi kisah benar.
“Perlembagaan Perikatan Nasional, PERKARA 8.3(I)(b) memperuntukkan perkara berikut: “Sekiranya Pengerusi meletakkan jawatannya, peletakan jawatan itu hendaklah berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan Majlis Tertinggi yang akan memilih secepat mungkin seorang Pengerusi baharu,” katanya.
Menurut beliau, peruntukan Perlembagaan PN itu adalah sangat jelas.
“Bagaimana pula ia boleh ditafsirkan sebagai – “Pandangan undang-undang yang kami terima ialah dari sudut perundangan, peletakan jawatan Muhyiddin ini telah berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu.
“Walaupun telah berkuat kuasa, pemakluman peletakan jawatan tersebut tetap perlu dibawa ke Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk mendapatkan kelulusan.
“Peruntukan Perlembagaan PN jelas menyebut – “belum berkuat kuasa”. Bagaimana pula boleh ditafsirkan sebagai “sudah berkuat kuasa” dan “hanya pemakluman sahaja yang perlu dibawa ke Mesyuarat MT PN untuk kelulusan?”
“Tidak perlu takut jika Pengerusi PN berada di dalam mesyuarat MT PN sebagai pengerusi atau sebagai ahli MT. Pada ‘hemat’ sepatutnya digantikan dengan ‘berdasarkan Perlembagaan’.
“Sebagai pemimpin Islam, perlu berlaku jujur, beramanah dan berintegriti dalam melaksanakan tanggungjawab,” seru Tun Faisal.
Terdahulu, Timbalan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hasan mengesahkan Muhyiddin tidak dinamakan dalam senarai hadir ke mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi PN Khamis ini.
Jelas Takiyuddin, tindakan berkenaan susulan tindakan Ahli Parlimen Pagoh itu yang mengumumkan meletak jawatan berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu menyatakan, atas sebab itu, hanya ahli MT PN yang berbaki dipanggil untuk hadir ke mesyuarat berkenaan.
Selain itu, Takiyuddin juga memberitahu, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan PN Datuk Dr Mohd Radzi Jidin yang turut meletakkan jawatan sebelum ini, turut tidak disenarai sebagai yang akan hadir dalam mesyuarat itu.
“Pandangan undang-undang yang kami terima ialah dari segi undang-undang, (peletakan jawatan Muhyiddin) ini sudah berkuat kuasa (mulai 1 Januari lalu).
“Tapi tak apalah, walaupun demikian, (pemakluman peletakan jawatan itu) perlu dibawa kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk diluluskan juga,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Pas pada Isnin.
Satu surat jemputan mesyuarat luar biasa PN Khamis ini yang dikongsi gabungan itu semalam mengundang kritikan pemimpin Bersatu yang mempersoalkan mengapa nama Muhyiddin tak disenarai sebagai mereka yang perlu hadir.



