Tanpa sebarang alasan permohonan filem dokumentari Jom Ke Laut gagal dapat tempat dalam Skim Wajib Tayang

KUALA LUMPUR,— Keputusan Skim Wajib Tayang (SWT) di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menolak permohonan dokumentari panjang Jom Kita Ke Laut: Itui Suli-Suli Bajau! tanpa sebarang alasan mendapat kritikan keras pengedarnya, Kuman Picturs.

Dokumentari terbitan Fat Bidin Media dengan Kuman Pictures sebagai pengedar itu mengangkat kisah harapan dan cita-cita sekumpulan anak muda di Pulau Omadal, Sabah — komuniti yang berdepan pelbagai cabaran termasuk isu kewarganegaraan, akses pendidikan serta masalah sosial.

Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun media sosial Kuman Pictures, pihak produksi telah memperoleh kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) sebelum menghantar permohonan kepada SWT bagi membolehkan dokumentari itu memasuki pawagam melalui mekanisme wajib tayang yang diwujudkan untuk membantu filem Malaysia ditayangkan secara meluas.

Bagaimanapun, SWT pada 21 Januari lalu menolak permohonan tersebut.

Kuman Pictures mendakwa surat penolakan itu tidak menyertakan sebarang sebab walaupun dalam masa sama memaklumkan bahawa pihak penerbit berhak mengemukakan notis rayuan dalam tempoh tujuh hari.

Apabila alasan penolakan diminta bagi membolehkan rayuan dibuat, pihak produksi berkata mereka masih tidak menerima sebarang penjelasan.

Sebaliknya, menurut kenyataan itu, mereka diminta untuk menghubungi pengerusi SWT, Rozaidi Abdul Jalil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi, melalui nombor WhatsApp peribadi untuk mendapatkan jawapan.

“Kami diminta menyelesaikan perkara di bawah agensi berwajib melalui WhatsApp peribadi. Ini sesuatu yang menghairankan,” menurut kenyataan tersebut.

Kuman Pictures turut mempersoalkan mengapa nombor perhubungan diberikan tetapi tidak dijawab, selepas pertanyaan dibuat pada pagi Jumaat, 23 Januari, namun masih tiada maklum balas sehingga kini.

Antara persoalan utama yang dibangkitkan ialah mengapa permohonan dokumentari itu ditolak, bagaimana notis rayuan boleh dibuat jika sebab penolakan tidak didedahkan, serta mengapa komunikasi rasmi digantikan dengan perhubungan WhatsApp.

Dalam kenyataan sama, Kuman Pictures turut mempersoalkan kewujudan layanan berbeza terhadap dokumentari sedangkan SWT sebelum ini pernah meluluskan beberapa karya dalam genre sama, termasuk The Story of Tarcisians pada 2024 yang mendapat tayangan di 35 pawagam.

Mereka juga membandingkan keputusan SWT meluluskan tayangan di 30 pawagam bagi sebuah filem animasi yang dihasilkan sepenuhnya menggunakan kecerdasan buatan (AI) pada awal tahun ini.

“Jika itu boleh diluluskan, mengapa sebuah dokumentari yang melibatkan tenaga kerja sebenar dan latar komuniti Malaysia ditegah?” menurut kenyataan itu.

Penolakan SWT itu juga bermakna dokumentari tersebut tidak layak mendapat pulangan rebat cukai 10 peratus walaupun ditayangkan melalui saluran alternatif, sekali gus menimbulkan persoalan tentang sokongan institusi terhadap genre dokumentari.

Sebagai jawatankuasa di bawah FINAS yang ditugaskan membangunkan industri perfileman negara, Kuman Pictures menegaskan SWT wajar tampil menjelaskan asas keputusan serta memastikan proses kelulusan dibuat secara telus dan profesional.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat