KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya projek ternakan babi berskala besar di Bukit Tagar dibatalkan terlebih dahulu bagi mengelakkan keresahan penduduk pelbagai kaum di kawasan terbabit.
Beliau berkata demikian susulan perbincangan dalam mesyuarat Kabinet hari ini yang turut mengambil kira faktor persekitaran dan sensitiviti masyarakat sekitar terhadap pelaksanaan projek tersebut.
“Saya akan bincang dengan Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) supaya bagi pandangan. Kalau boleh, batalkan dulu projek itu dan pertimbangkan kalau ada kawasan yang lebih sesuai dengan syarat teknologi itu terjamin,” katanya lapor Berita Harian di Bangi pada Jumaat.
Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Amin, Bandar Baru Bangi.
Menurut Anwar, walaupun projek ternakan itu menggunakan teknologi moden, ia tetap tidak sesuai diteruskan sekiranya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
“Kalau pun teknologi baik, tapi di kawasan yang menimbulkan keresahan, itu tentunya tidak wajar diteruskan,” katanya lagi.
Sebelum ini, Amirudin memaklumkan keputusan memindahkan ladang babi di Kuala Langat ke Bukit Tagar adalah untuk menamatkan penternakan cara tradisional kepada cara moden.
Beliau berkata Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan menyeluruh dengan penternak untuk menjelaskan proses pemindahan ladang, syarat pematuhan, langkah keselamatan dan kesan terhadap operasi harian.



