SEMABOK – Bersatu ada hak dan ruang untuk membela diri dalam Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN), kata Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid.
Justeru, Rafique mengingatkan kepada Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan rakan-rakan dalam parti Bunga Raya itu supaya bersabar kerana mereka berpeluang untuk membalas dan membela diri.
“Memang antara perkara yang dibincangkan di peringkat MT PN adalah tindakan apa yang perlu dikenakan terhadap Bersatu. Jadi, kalau mengikut Perlembagaan PN, memang akan ada kuasa diberi kepada MT PN untuk buat beberapa keputusan kepada masalah-masalah disiplin kalau ditimbulkan oleh ahli, ahli gabungan, dan sebagainya.
“Tetapi, PN mengambil ketetapan sebegini – semalam, Datuk Seri Samsuri, Pengerusi PN menyatakan bahawa kita akan mengambil tindakan-tindakan disiplin, tapi kita kena kumpul bukti dulu, sebab kita nak memastikan kita tak menghukum tanpa bukti.
“Jadi, dalam proses mengumpul keterangan tersebut, Tun Faisal dan rakan-rakan dia dalam Bersatu, sabar, jangan melonjak dulu.
“Kamu akan diberi peluang untuk membalas. Kita akan bagi kamu hak untuk bercerita, kita akan bagi kamu hak untuk bela diri, dan kemudian kita buat keputusan.
“…kepada Bersatu, tunggu dulu surat tu sampai, sebab kita nak selesaikan PRN Melaka dulu, kan? Lepas tu akan keluar menyusul Insya-Allah surat-surat menyurat dan sebagainya.
“Dan saya rasa yang penting adalah seperti mana yang dinyatakan oleh Pengerusi PN semalam, di mana Samsuri menyatakan dengan jelas akan ada hak untuk membela diri oleh pihak Bersatu. Kemudian, tunggu keputusan nanti dibuat secara bermesyuarat di dalam Majlis Tertinggi PN.
“Perlakukan-perlakukan mereka sebelum ini, perlakukan mereka di PRN Negeri Sembilan, perlakukan mereka mungkin di sini, di PRN Melaka. Tetapi, sebelum kita menghukum, perlu ada proses-proses yang dilalui,” kata Rafique.
Semalam Tun Faisal berkata, Pas perlu membuktikan terlebih dahulu bahawa parti itu tidak melanggar Perlembagaan PN serta tidak menafikan hak parti anggota sebelum mengambil sebarang tindakan tatatertib terhadap Bersatu.
Ketua Penerangan Bersatu itu berkata, pihak yang didakwa melanggar perlembagaan gabungan serta menindas hak parti anggota tidak sepatutnya mengambil tindakan tatatertib terhadap pihak yang mematuhi peraturan PN.
Sehubungan itu, beliau berpandangan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, perlu mengumpulkan bukti terlebih dahulu bagi membuktikan Pas selaku peneraju gabungan itu tidak pernah melanggar Perlembagaan PN.



