CYBERJAYA, — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa sekatan akses sementara ke atas penggunaan aplikasi Grok di platform X telah ditarik balik berkuat kuasa hari ini.
Menurut MCMC, keputusan tersebut dibuat susulan pengesahan pelaksanaan langkah-langkah pencegahan dan keselamatan tambahan oleh pihak platform berkenaan.
Terdahulu, satu mesyuarat telah diadakan pada 21 Januari 2026 melibatkan Kementerian Komunikasi, MCMC serta wakil platform X bagi mendapatkan penjelasan dan komitmen berhubung pematuhan undang-undang Malaysia, khususnya berkaitan penggunaan aplikasi Grok.
Pihak platform X telah mengesahkan bahawa langkah keselamatan yang diperlukan telah dilaksanakan, justeru MCMC mengambil kira penjelasan serta pengesahan awal berkenaan sebelum menarik balik sekatan akses sementara tersebut.
Walau bagaimanapun, MCMC menegaskan bahawa penarikan sekatan ini adalah tertakluk kepada pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa. Keselamatan pengguna kekal sebagai keutamaan dan sebarang kegagalan mematuhi undang-undang atau pelanggaran peraturan Malaysia akan ditangani secara tegas selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.



