Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengumumkan pelantikan empat jawatan utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berstatus jeneral 3 bintang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
MINDEF dalam kenyataan rasminya memaklumkan, Ketua Eksekutif Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS), Leftenan Jeneral Dato’ Seri Hj. Muhammad Huzaimi Sabri dilantik sebagai Ketua Staf Markas ATM (KS MK ATM) merupakan pegawai kanan kedua tertinggi di Markas ATM.
“Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dilantik sebagai Panglima Angkatan Bersama (PAB).
“Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad dinaikkan ke pangkat Leftenan Jeneral dan dilantik sebagai TPTD, manakala Leftenan Jeneral Dato’ Pahlawan Zahani Hj. Zainal Abidin (TUDM) pula dilantik sebagai Ketua Eksekutif MiDAS,”kata kenyataan itu pada Selasa.
Menurut kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 Januari lalu telah memperkenan pelantikan berkenaan bagi mengisi beberapa jawatan utama ATM, selepas menimbang syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri ke-632 yang telah bersidang pada 7 Januari 2026.
“Kementerian yakin barisan kepimpinan baharu ini mampu menggalas amanah dengan penuh profesionalisme serta memperkukuh kesiapsiagaan dan keyakinan rakyat terhadap institusi pertahanan negara, ”katanya.
Tegasnya, integriti , akauntabiliti dan tadbir urus yang bersih merupakan teras utama kepimpinan ATM serta ekosistem pertahanan negara. -SUARA.TV



