Tiada ‘Kolaborasi Agung’ Jika UMNO Kekal Bersama DAP

KUALA LUMPUR: Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan parti itu tidak akan menyertai sebarang usaha penyatuan politik Melayu selagi UMNO terus menjalin kerjasama dengan DAP dalam kerajaan sedia ada.

Menurut beliau, cadangan yang diketengahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menimbulkan persoalan besar mengenai hala tuju sebenar kerjasama tersebut, khususnya melibatkan kedudukan DAP dalam kerajaan perpaduan.

Muhyiddin mempersoalkan sama ada idea itu bertujuan menyatukan semua parti Melayu di bawah UMNO, atau sekadar satu cadangan politik tanpa kejelasan pendirian terhadap Pakatan Harapan.

Beliau berkata, selagi UMNO masih bersekutu dengan DAP, Bersatu tidak dapat menerima sebarang bentuk rundingan atau persefahaman politik yang melibatkan parti tersebut.

UMNO dan DAP yang suatu ketika dahulu berada di blok berbeza, kini menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain pernah bekerjasama dalam beberapa pilihan raya negeri dan kecil sebelum ini.

Menjawab kritikan terhadap hubungan itu, kepimpinan UMNO sebelum ini menegaskan kerjasama dengan DAP hanyalah atas dasar pentadbiran negara dan bukan penyatuan ideologi.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang tidak lagi memegang jawatan pengerusi Perikatan Nasional sejak awal Januari lalu berkata, setakat ini tiada sebarang perbincangan rasmi dalam PN berhubung penyertaan ke dalam gabungan politik baharu.

Beliau menekankan bahawa sebarang keputusan berkaitan kerjasama dengan parti di luar PN perlu diputuskan secara kolektif dan dipersetujui bersama semua komponen gabungan.

Ditanya mengenai kemungkinan pertemuan dengan Zahid, Muhyiddin berkata beliau terbuka untuk berbincang, namun menegaskan kejelasan niat dan tujuan cadangan tersebut perlu dijelaskan terlebih dahulu.

Katanya, sebarang rundingan politik tidak boleh melibatkan DAP, melainkan terdapat penjelasan menyeluruh mengenai bentuk dan matlamat kerjasama yang ingin dibawa.

Sebelum ini, Zahid ketika Perhimpunan Agung UMNO mencadangkan satu “kolaborasi agung” melibatkan parti-parti Melayu dan Islam, yang menurutnya tidak akan menjejaskan kestabilan kerajaan perpaduan serta bermula sebagai bentuk kerjasama tidak rasmi.

Usaha penyatuan politik Melayu-Islam pernah dilaksanakan sebelum ini menerusi Muafakat Nasional pada 2019, selain beberapa inisiatif lain yang digerakkan oleh tokoh politik terdahulu, namun kebanyakannya gagal bertahan lama.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat