Setiap kali Ramadan menjelma, ada satu perasaan yang sukar digambarkan rasa rindu pada suasana kampung, pada meja makan yang penuh juadah air tangan keluarga, dan pada detik berbuka yang diraikan bersama-sama. Walaupun hidup di tengah kesibukan kota, kehangatan itu masih boleh dirasai. Itulah yang cuba dihidupkan oleh World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) menerusi bufet Ramadan 2026 bertemakan “Laman Tradisi”.
Bermula 23 Februari hingga 19 Mac 2026, ruang Aras 2 Legar WTCKL akan bertukar wajah menjadi sebuah laman desa yang sederhana tetapi sarat dengan elemen nostalgia. Hiasan berinspirasikan suasana kampung, digabungkan dengan pencahayaan lembut dan susun atur yang lapang, mewujudkan suasana berbuka yang tenang seolah-olah pulang ke rumah sendiri selepas seharian berpuasa.
Di sebalik suasana yang menenangkan ini, terhidang pula lebih 200 jenis juadah yang disediakan khas sepanjang Ramadan. Diketuai oleh Chef Rusmi, pasukan kulinari WTCKL menyediakan lima menu rotation berbeza, memastikan setiap kunjungan memberikan pengalaman rasa yang berbeza. Daripada 22 hidangan utama berasaskan ayam, lembu dan kambing, kepada 21 jenis hidangan laut, 13 ulam-ulaman, 28 manisan, serta 11 jenis minuman, pilihan yang ada memang cukup untuk memenuhi selera pelbagai lapisan tetamu.

Menariknya, bufet ini bukan hanya bergantung kepada menu dalaman WTCKL semata-mata. Bagi penggemar rasa autentik, kehadiran Nasi Kandar Saddam yang cukup dikenali di Kuala Lumpur pastinya mencuri perhatian. Tidak ketinggalan, hidangan Nasi Mandy dan Kunafa hasil kolaborasi bersama Mandy Al Yemen yang menambah sentuhan Timur Tengah pada meja berbuka.
Bagi WTCKL, Ramadan bukan sekadar soal kepelbagaian makanan. Menurut Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Dato’ Sri Dr Irmohizam bin Ibrahim, konsep Laman Tradisi dipilih kerana ia mencerminkan nilai sebenar bulan Ramadan. “Ramadan bukan sekadar tentang hidangan yang pelbagai, tetapi tentang kebersamaan, kesyukuran dan perkongsian. Melalui konsep Laman Tradisi, WTCKL menawarkan pengalaman berbuka puasa yang lebih bermakna, di mana tradisi, suasana dan rasa disatukan,” jelas beliau.
Selain menikmati juadah, keselesaan tetamu turut diberi perhatian. Surau Ar-Rahman disediakan berhampiran lokasi bufet, lengkap dengan kemudahan solat berjemaah untuk solat Maghrib, Isyak dan Tarawih. Bagi mereka yang memandu, caj parkir sepanjang Ramadan ditetapkan pada kadar rata RM6 bagi kemasukan selepas jam 5.00 petang, satu kelebihan yang pasti melegakan, terutama di kawasan pusat bandar.

Dari segi harga, WTCKL menawarkan pelbagai pilihan yang lebih fleksibel. Harga early bird RM118, harga biasa RM138 untuk dewasa, serta RM85 untuk warga emas dan kanak-kanak berusia tujuh hingga dua belas tahun menjadikan bufet ini sesuai untuk seisi keluarga. Lebih menarik, pengikut media sosial WTCKL juga berpeluang menikmati Flash Deal serendah RM100. Untuk syarikat atau organisasi, Pakej Banquet Ramadan turut ditawarkan bermula RM148 nett dengan tempahan minimum 100 orang.
Dalam keseronokan menikmati hidangan, WTCKL juga tidak melupakan tanggungjawab terhadap alam sekitar. Selari dengan prinsip Environmental, Social and Governance (ESG), pihak pengurusan memperkenalkan inisiatif mengurangkan pembaziran makanan dengan menyediakan tiffin carrier edisi terhad serta bekas bento dalam pelbagai saiz. Langkah ini bukan sahaja praktikal, malah mendidik tetamu untuk lebih menghargai rezeki yang ada.
Lebih daripada sekadar bufet, WTCKL turut memanfaatkan bulan Ramadan sebagai platform untuk berkongsi rezeki. Melalui program Infaq Kasih 3.0, WTCKL bekerjasama dengan rakan strategik seperti ikhlas.com, Creative Seven Legacy, Mamee, dan Wipro Unza, serta disokong oleh Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM). Program ini dijadualkan berlangsung di Rumah Sri Kenangan Cheras sekitar pertengahan Ramadan dan merangkumi aktiviti seperti Doa Selamat, Tazkirah, Iftar Jama’i, solat Tarawih berjemaah, serta agihan barangan keperluan asas kepada warga emas.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan WTCKL dalam menyokong komuniti setempat. Kami berharap program ini dapat memberi manfaat dan membawa kegembiraan kepada warga emas sepanjang bulan Ramadan,” tambah beliau.
Sebagai sebuah pusat acara perniagaan bertaraf antarabangsa, WTCKL terus membuktikan bahawa peranan mereka melangkaui penganjuran acara dan jamuan semata-mata. Melalui Laman Tradisi, WTCKL mengajak masyarakat bandar untuk memperlahankan langkah, menikmati detik berbuka dengan lebih bermakna dan menghayati semula nilai Ramadan yang sebenar tentang rasa, suasana dan kebersamaan.
Dan mungkin, dalam setiap suapan dan senyuman yang terukir di meja berbuka, terselit sedikit rasa rindu yang akhirnya terubat.



