KUALA LUMPUR — UMNO tiada masa lagi untuk berpecah belah kerana perkara itu akan menghakis kekuatan parti serta menjejaskan sumbangannya terhadap kestabilan politik negara.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ketiadaan parti yang benar-benar dominan dalam politik negara mewajibkan UMNO bersatu dan bertindak sebagai satu pasukan yang utuh.
“Kita sudah tidak boleh lagi berbeza-bezalah. Parti ini sudah tidak kuat macam dulu. Jadi kita semua kena bersatu untuk berdepan dengan cabaran yang akan datang, bukan sahaja dalam negara, tapi juga luar negara.
“Jadi sebab itu, dalam apa saja perbezaan politik kita dengan mana-mana politik yang patut, kita mesti menyusun dan menyesuaikan diri untuk memastikan bahawa negara ini terus mempunyai kestabilan politik yang baik, bagus, dan kita sama-sama boleh menafaat mendapat manfaat daripada perkembangan ekonomi yang boleh diganjikan dengan kestabilan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat Presiden UMNO yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Menurut Johari, meskipun tiada parti yang memiliki majoriti mutlak ketika ini, negara masih boleh ditadbir secara berkesan melalui kerjasama merentas parti politik tanpa menjejaskan keharmonian dan keselamatan.
Katanya, model pentadbiran berpasukan itu membuktikan perbezaan ideologi bukan penghalang kepada kestabilan, sebaliknya mampu menyumbang kepada tadbir urus yang lebih matang.
“Saya rasa kalau banding yang sebelum ini dengan sekarang ini, kita semua bersatu macam biasa.
“Sekarang tidak ada satu pun parti yang mempunyai majoriti, tetapi kita masih boleh kekal bekerjasama dan mentadbir negara secara pasukan dengan banyak parti-parti lain, tetapi negara tetap aman,” katanya.
Mengulas pandangan bahawa pengundi Melayu semakin mendekati UMNO ketika parti itu berada dalam Kerajaan Perpaduan, Johari menegaskan penilaian sebenar hanya boleh dibuat berdasarkan keputusan pilihan raya akan datang.
“Kalau tanya saya, saya pun sebenarnya tidak ada jawapan. Kalau nak cakap dekat atau tak dekat, kita tunggu pilihan raya. Sebab kalau kita tengok di Sabah, kita bertanding 45, kita menang enam, Pakatan Harapan (PH) menang satu,” katanya.



