Anak muda penentu arah politik Terengganu dan negara – Ahmad Said

KUALA LUMPUR — Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Said menegaskan bahawa golongan muda, khususnya pengundi kali pertama kini menjadi kumpulan penentu yang akan mencorakkan landskap politik Terengganu dan umumnya negara.

Beliau berkata sebahagian besar anak muda masih belum memahami sepenuhnya landskap politik dan tadbir urus negara, selain mudah terpengaruh dengan sentimen yang disebarkan melalui media sosial.

“Anak muda sekarang ini, terutamanya yang pertama kali mengundi, masih belum benar-benar faham landskap politik.

“Mereka banyak bergantung kepada media sosial seperti TikTok dan mudah terpengaruh dengan sentimen tertentu. Itu realiti yang kita hadapi hari ini,” katanya ketika ditemui selepas taklimat Presiden di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Menurut Ahmad Said yang juga bekas Menteri Besar Terengganu, golongan muda perlu diberi kefahaman yang lebih jelas supaya mereka mampu menilai prestasi kerajaan secara matang demi masa depan sendiri.

“Kita berharap kali ini anak muda akan lebih prihatin, lebih fokus dan mampu menilai kesan prestasi kerajaan sedia ada terhadap masa depan mereka kerana keputusan hari ini akan memberi kesan jangka panjang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Said turut menyentuh sentimen rakyat terhadap kerajaan negeri Terengganu yang menurutnya masih berdepan kekurangan dari segi pembangunan dan tidak wajar dibiarkan berada dalam keadaan yang sama seperti Kelantan.

“Kita tidak mahu Terengganu menjadi seperti Kelantan. Walaupun diperintah oleh parti yang sama, realitinya rakyat Terengganu tidak sepenuhnya sama dengan rakyat Kelantan,” jelasnya.

Beliau berkata perbezaan sikap rakyat Terengganu dan Kelantan, khususnya dari segi corak penghijrahan, turut mempengaruhi sentimen politik di peringkat negeri.

“Orang Kelantan sanggup bekerja di luar, tetapi apabila tiba musim pilihan raya mereka pulang mengundi. Orang Terengganu pula berbeza sedikit.

“Sebab itu, walaupun kita tewas dua kali berturut-turut sebelum ini, kita yakin masih ada ruang untuk perubahan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai amanat Presiden UMNO yang disampaikan dalam taklimat hari ini, Ahmad Said berkata Presiden menekankan kepentingan penyatuan parti serta kesiapsiagaan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Amanat Presiden hari ini sangat jelas. Presiden menegaskan bahawa penyatuan parti adalah asas kekuatan UMNO dan Barisan Nasional.

“Semua peringkat parti perlu bersedia lebih awal, memperkemas jentera dan memastikan kesilapan lalu tidak berulang, khususnya menjelang pilihan raya terdekat seperti di Melaka dan Johor kerana kemenangan besar di negeri-negeri ini boleh menjadi pemangkin kepada kebangkitan parti di peringkat nasional,” katanya

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat