Belum ada pegawai SPRM disiasat dalam kes ‘Mafia Korporat’ – KDN

KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Tiada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikenal pasti terlibat atau dipanggil membantu siasatan berhubung dakwaan “mafia korporat” menerusi Op Viking setakat ini, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Kementerian itu memaklumkan perkara tersebut berdasarkan latar belakang dan identiti saksi yang telah dipanggil untuk dirakam percakapan sepanjang siasatan berkenaan.

Menurut KDN, seramai 70 individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan setakat 25 September lalu.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menahan beberapa individu serta membekukan dan menyita pelbagai aset yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti yang sedang disiasat.

“Tindakan pembekuan dan penyitaan ini melibatkan lapan bidang hartanah, 11 kenderaan, 417 akaun Sistem Depositori Pusat (CDS), 70 akaun dagangan saham bernilai RM323.59 juta serta 404 akaun bank berjumlah RM85.62 juta,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis di portal Parlimen.

KDN menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai skop dan status siasatan PDRM terhadap dakwaan “mafia korporat”, termasuk pembabitan pegawai SPRM atau agensi penguatkuasaan lain serta dakwaan penyalahgunaan kuasa.

Kementerian itu memaklumkan siasatan Op Viking masih diteruskan bagi melengkapkan keseluruhan kertas siasatan.

Menurutnya, PDRM komited melaksanakan siasatan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Melalui Op Viking, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), PDRM telah membuka satu kertas siasatan pada 14 Okt 2025 di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613),” menurut kementerian itu. – SuaraTV/BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat