KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen DAP Dr Ong Kian Ming menilai peluang Umno bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) telah turun atas beberapa faktor termasuk keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Kian Ming malah berkata, harapan Pas bekerjasama dengan Umno lebih meningkat berbanding Umno bersama PH.
“Ya, jadi saya rasa atas beberapa faktor termasuk keputusan PRN di Sabah, chances of Umno bekerjasama dengan Pakatan Harapan saya rasa telah turun.
“Tambah pula apa yang telah berlaku dari segi kemelut politik di negeri Perlis, kemungkinan di mana Pas akan bekerjasama dengan Umno telah meningkat dan pada masa yang sama mungkin Bersatu akan dipinggirkan dan kebolehan Pakatan Harapan untuk mendapatkan the non-malay vote kepada Barisan Nasional (BN) juga telah turun oleh kerana apa yang berlaku di Sabah sebagai satu reference point ataupun rujukan.
“Dan oleh kerana semua faktor seperti ini, saya rasa susah untuk, bukan impossible, bukan 100 peratus tak boleh, tetapi cabaran itu telah dinaikkan dari segi kerjasama di antara Umno-BN dan juga PH,” katanya dalam podcast Jam Kesebelas.
Ditanya sama ada beliau bersetuju atau tidak, lebih mudah untuk PH mengekalkan 84 kerusinya dengan tidak bekerjasama dengan BN berbanding bekerjasama dengan BN, Kian Ming berkata,
itu tergantung kepada sama ada BN akan bekerjasama dengan Pas atau tidak.
“Jikalau BN ataupun lebih tepat jikalau Umno mahu bekerjasama dengan Pas dan meminggirkan Bersatu. Saya rasa kalau ada deal di mana negeri-negeri dan kerusi di utara itu kebanyakan diberikan kepada Pas.
“Mungkin satu dua boleh diberikan kepada Umno sebagai sagu hati dan di selatan, di Johor misalnya, kebanyakan kerusi akan diaghikan kepada Umno ataupun BN beberapa kerusi diberikan kepada Pas dan pada masa yang sama, deal ialah Umno dengan Pas boleh memerintah negeri-negeri di utara, di selatan dan mungkin boleh menawan balik Selangor dan mungkin juga Negeri Sembilan.
“Dan yang penting sekali jikalau Pas membuat tawaran ini yang buat masa sekarang saya rasa PH tak boleh buat tawaran yang sama iaitu Kalau Pas dengan Umno menjadi kerajaan, menubuhkan kerajaan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menjadi Perdana Menteri.
“Saya rasa itu adalah satu tawaran yang mungkin… tidak boleh ditolak dengan senang oleh Umno.
“Walaupun mungkin Zahid sendiri masih lagi berpegang ataupun taat setia kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.



