MINDEF akan rombak pelan antirasuah besar-besaran, banteras kecurangan kuasa membarah terutama ATM – Khaled

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan melaksanakan rombakan pelan antirasuah secara besar-besaran bagi membanteras rasuah dan segala kecurangan kuasa yang membarah dalam sistem pertahanan nasional, terutama dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tahun ini.

Melalui langkah itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, segala proses tender dan perolehan akan disemak semula serta diperbaiki selari dengan amalan terbaik.

Beliau juga memberi amaran bahawa pegawai yang terbabit akan kehilangan segala-galanya sekiranya menjadi penyebab sektor keselamatan negara dikompromi.

Perkara itu menjadi antara empat teras pelarasan MINDEF pada 2026, antaranya berkaitan membanteras rasuah dan segala kecurangan kuasa yang membarah dalam sistem pertahanan nasional.

“Rasuah, atau persepsi rasuah, dalam apa juga bentuk di MINDEF ini harus berakhir! Tidak akan ada toleransi terhadap apa juga kecurangan. Bersedialah untuk kehilangan segalanya jika anda adalah penyebab sektor keselamatan kita dikompromi.

“Pada tahun ini, pelan antirasuah MINDEF ini akan dirombak secara besar-besaran. Segala proses tender dan perolehan akan kita semak semula dan perbaiki selari dengan amalan terbaik.

“Seruan saya adalah untuk anda semua turut serta bersama-sama saya bagi membersihkan segala bentuk ketirisan dan kecurangan, walau siapa pun yang melakukannya. Rasuah adalah ancaman dari dalam yang akan menewaskan kita tanpa perlu ke medan peperangan sebenar,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan, lapor BH pada Isnin.

Mengulas lanjut, Khaled berkata, rasuah menafikan Malaysia daripada memiliki aset yang bermutu dan mengancam keselamatan anggota tentera.

“Rasuah menyebabkan pembaziran dan ketidakcekapan serta mengurangkan keberkesanan kita sebagai agensi pertahanan nasional yang utama. Ia merosakkan keperibadian anggota kita yang terdidik dengan disiplin.

“Rasuah adalah barah yang menyebabkan kita tidak mampu bersaing sebagai sebuah negara kuasa pertengahan dan kerana rasuah, berlaku ketirisan dan akhirnya kita tidak mampu memberikan yang terbaik kepada tanah air dan anggota kita,” katanya.

Dalam pada itu, Khaled berkata, MINDEF akan terus memoden dan memperkasa kesiapsiagaan aset pertahanan negara, selaras dengan aspirasi pembangunan Angkatan Masa Hadapan.

Menurutnya beberapa aset pertahanan baharu dijangka akan diterima pada tahun ini dalam memperkuatkan dan memperkukuhkan lagi kedaulatan negara

“Antara aset yang besar bakal diterima adalah empat unit pesawat Fighter Lead-In Trainer – Light Combat Aircraft (FLIT-LCA); tiga unit Medium Altitude Long Endurance-Unmanned Aerial
System (MALE-UAS) dan lima bot Fast Interceptor Craft (FIC).

“Pada tahun ini juga, kita akan mula melaksanakan perolehan aset -aset strategik baharu. Antaranya adalah Perolehan sistem Very Short Range Air Defence (VSHORAD); Perolehan sistem Short Range Air Defence (SHORAD); Perolehan Multi Role Support Ship (MRSS); dan Perolehan Medium Range Air Defence (MERAD),” katanya.

Khaled berkata, MINDEF juga akan memberi perhatian serius terhadap pembangunan industri pertahanan negara demi merealisasikan hasrat menjadikan negara ini memiliki keupayaan pertahanan tempatan serta kedaulatan teknologi pertahanan yang berdaya tahan dam sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.

“Insya-Allah pada bulan ini, kita akan melancarkan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), satu dokumen yang melakar hala tuju yang jelas untuk membina industri pertahanan yang kukuh, berdaya saing dan mapan,” katanya lapor akhbar itu lagi.

Dalam Belanjawan 2026 yang diumumkan pada Oktober tahun lalu, Kementerian Pertahanan diperuntukkan sejumlah RM21.74 bilion, sekali gus mencatat peningkatan sebanyak 2.92 peratus berbanding tahun 2025.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM6 bilion telah diperuntukkan khusus untuk tujuan perolehan aset dan kelengkapan ATM.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat